LANGKAWI - Seorang kanak-kanak 12 tahun dianggap hero cilik apabila tindakan pantas dilakukannya berjaya menyelamatkan rakan yang terjatuh ketika bermain air di Pantai Pasir Hitam di sini dalam kejadian kira-kira 11 pagi Sabtu.
Bapanya, Zulfadli Mohd Yusoff, 41, berbangga apabila Faris Danish berjaya membantu rakannya menggunakan kemahiran dipelajari namun perasaan bimbang dan khuatir tetap ada.
"Masa beri keterangan kepada polis dan bomba, mereka kata dia hero sebab berjaya bantu mangsa, lepas tarik ke atas, dia beri bantuan pernafasan (CPR) pula.
"Bukanlah terlampau berbangga, lebih kepada bersyukur Faris Danish selamat, saya juga doakan, rakannya beransur pulih," katanya.
Jelas Zulfadli, Faris merupakan Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad.
"Sejak kecil saya beri pendedahan tentang sukan air seperti latihan layar, memancing, berenang... dia juga atlet marathon, merentas desa dan masuk beberapa acara di sekolah dan luar.
"Tetapi berdepan situasi cemas seperti ini, belum pernah lagi dia bantu orang lemas...bila tanya, Faris kata nampak kawan tak timbul, sebab tu cepat-cepat tolong tarik," katanya.
Menurut Zulfadli, anaknya membuat panggilan telefon dalam keadaan cemas memaklumkan kejadian dan meminta Faris supaya lari mendapatkan bantuan orang dewasa tanpa menyangka pertolongan awal telah diberikan anak sulung dua beradik itu.
"Selepas dapat call, saya bergegas ke sana dengan bawa jaket keselamatan, dengan harapan saya yang akan turun bantu, tetapi apabila sampai terkejut apabila dimaklumkan bahawa Faris dah terlebih dahulu bertindak.
"Rupanya masa dia call, dia dah tarik mangsa dan minta saya cepat sampai sebab melihat mangsa masih belum sedar," jelasnya.
Zulfadli tidak menyangka tindakannya memuat naik gambar insiden terbabit di media sosial peribadi telah menyebabkan tular.
Bagaimanapun, Zulfadli tetap berpesan kepada Faris agar sentiasa mengutamakan keselamatan sekiranya berdepan situasi kecemasan sedemikian.
Sebelum ini, kisah Faris mendapat perhatian media apabila berjaya menyelamatkan rakan lelaki berusia 10 tahun ketika terjatuh dipercayai tergelincir semasa berada di pantai berkenaan.