Kes langgar 'hidup-hidup', polis tahan tiga lelaki tular

Iklan
Tangkap layar tular insiden membabitkan penunggang motosikal dilanggar sebuah kereta Proton Saga di Taman Pulai Utama Skudai.

ISKANDAR PUTERI - Perselisihan faham berkaitan pinjaman wang dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan individu di hadapan sebuah pasar raya di Taman Pulai Utama, Skudai, di sini, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada jam 6.38 petang, Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku antara dua pihak yang saling mengenali sebelum tercetus insiden fizikal.

"Dalam kejadian itu, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun mengalami kecederaan patah kaki kanan susulan insiden membabitkan sebuah kereta yang dipandu salah seorang individu terbabit.

Iklan

"Mangsa menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, polis menahan tiga individu tempatan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 34 hingga 53 tahun bagi membantu siasatan.

Iklan

Mangsa yang kelihatan cuba mengelak daripada dilanggar bagaimanapun tetap dirempuh kenderaan terbabit.

Katanya, sebuah kereta jenis Proton Saga turut dirampas, manakala polis sedang mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah dan semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Radin Ramlan berkata, kejadian itu turut dirakam orang awam sebelum dimuat naik ke Facebook oleh pengguna bernama Khairul Blueblack.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala jika menyebabkan kecederaan, pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun," ujarnya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang dalam menyelesaikan perselisihan faham serta mengelak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Sebelum itu, tular video berdurasi 23 saat memaparkan seorang lelaki dipercayai penunggang motosikal di atas jalan dengan keadaan kaki terkulai sebelum sebuah kereta jenis Proton Saga dilihat merempuhnya.

Mangsa yang kelihatan cuba mengelak daripada dilanggar bagaimanapun tetap dirempuh kenderaan terbabit.

Dalam rakaman itu, kedengaran suara seorang wanita bertanya kepada pemandu kereta berkenaan mengapa dia melanggar suaminya, namun pemandu terbabit hanya menjawab"balai".