KOTA TINGGI – Parlimen Tenggara terus menyemarakkan sambutan Ramadan yang bakal tiba dengan melaksanakan pelbagai inisiatif kerohanian dan kebajikan menerusi Program Semarak Ihya Ramadan 2026 peringkat Parlimen Tenggara.
Meneruskan tradisi tahun-tahun sebelumnya, Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib menyampaikan sumbangan kurma, sumbangan imarah Ramadan serta kit pengurusan jenazah kepada 26 masjid dan 36 surau di seluruh Parlimen Tenggara.
Manndzri berkata, inisiatif itu bertujuan membantu pengurusan masjid dan surau dalam mengimarahkan Ramadan sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Dengan kos sumbangan yang bernilai RM60,000 secara keseluruhan, ia dapat memastikan kemudahan asas komuniti sentiasa tersedia sepanjang bulan yang mulia.
"Masjid dan surau bukan sekadar tempat ibadah, malah berperanan sebagai pusat komuniti melalui kepelbagaian aktiviti seperti tazkirah, tadarus, iftar, gotong-royong dan program kebajikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Program Semarak Ihya Ramadan 2026 Parlimen Tenggara di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya di sini pada Sabtu.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Rakyat Parlimen Tenggara dan RISDA bersempena Majlis Pekebun Kecil Makmur RISDA Peringkat Negeri Johor.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim, pimpinan tempatan dan wakil masjid serta surau.
Manndzri yang juga Pengerusi RISDA memberitahu, dalam masa sama, sumbangan turut disalurkan kepada tujuh institusi tahfiz dan sebuah rumah anak yatim bagi menyantuni golongan memerlukan agar mereka dapat menyambut Ramadan dengan lebih bermakna.
Jelas beliau, ia selaras dengan semangat Ramadan yang menuntut nilai empati, kebersamaan dan tanggungjawab sosial dalam masyarakat.
"Penganjuran program ini diharap dapat terus menjadi platform menyemai nilai kesyukuran, memperkukuh silaturahim serta menghidupkan budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat Parlimen Tenggara," ujarnya