TUMPAT – Harga lebih tinggi mencecah RM5 sekilogram di Thailand menjadi punca penyeludup terus rakus apabila cuba menyeludup hampir dua tan minyak masak peket bersubsidi yang ditemukan berlonggok di pangkalan haram Lan Bundle di tebing Sungai Golok, Lubok Gong, Pasir Mas pada Ahad.
Serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor serta Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA).
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, pihaknya berjaya menemukan 1,983 kilogram minyak masak peket tersebut termasuk di dalam tiga kenderaan iaitu dua Proton Waja dan sebuah Proton Wira Aeroback di tebing sama.
Menurutnya, ketika serbuan, sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak berisi minyak masak dari kenderaan ke tebing sungai sebelum melarikan diri menggunakan perahu sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Sebahagian minyak masak sudah dipunggah dan berada di tebing sungai untuk diseludup ke negara jiran.
“Kami percaya keseluruhan bekalan ini sedang menunggu untuk dibawa menyeberangi Sungai Golok menggunakan bot,” katanya pada sidang akhbar sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 di Pasar Raya Supermas di sini pada Ahad.
Beliau berkata, nilai rampasan dianggarkan lebih RM20,000 termasuk kenderaan dan disita sebagai rampasan tanpa tuan selepas tiada individu tampil menuntut barangan berkenaan.
Mengulas lanjut, Aswadi berkata, hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga kenderaan itu dipercayai bergerak dalam satu kumpulan yang sama berdasarkan penahanan serentak di lokasi berkenaan.
“Siasatan awal menunjukkan ia melibatkan satu kumpulan, namun kami masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti pemilik kenderaan dan rantaian bekalan minyak masak ini,” katanya.
Beliau berkata, minyak masak berkenaan dipercayai dibawa masuk dari luar Kelantan sebagai transit sebelum cuba diseludup ke negara jiran.
“Berdasarkan maklumat yang kami terima, harga minyak masak peket bersubsidi di Thailand boleh mencecah sehingga RM5 sekilogram.
“Perbezaan harga ini menjadi faktor pendorong kepada aktiviti penyeludupan,” katanya.
Tegasnya, KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang cuba menyeleweng barangan bersubsidi yang diperuntukkan untuk rakyat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang serta rangkaian penyeludupan yang terlibat.