GEORGE TOWN - Tiang-tiang konkrit yang berdiri megah merentasi laut Pulau Pinang bukan sekadar menyokong jambatan, malah menjadi tumpuan kaki pancing yang memburu rezeki di bawahnya.
Di celah struktur dua jambatan ikonik negara, Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, aktiviti memancing semakin mendapat tempat dalam kalangan pemancing tegar dari seluruh negara
Hampir setiap hari, kawasan tapak tiang dipenuhi kaki pancing yang sanggup bermalam dua hingga tiga hari demi menunggu sentapan ikan bersaiz besar.
Bagi sesetengah mereka, lokasi itu bukan sahaja lubuk hasil lumayan, malah menjadi ‘port healing’ untuk mencari ketenangan ditemani bunyi ombak dan angin laut.
Namun, di sebalik ketenangan tersebut, faktor cuaca, arus dan pasang surut air tetap menjadi cabaran yang perlu diberi perhatian.
Bagi Khairul Adha Yusof, 42, minatnya terhadap aktiviti memancing di bawah jambatan bermula sejak 2010 selepas tertarik melihat hasil yang diperoleh pemancing lain yang menjadikan tiang jambatan sebagai port rezeki.
Sejak itu, beliau mempelajari selok-belok teknik menjerat ikan bersaiz besar termasuk mengenal pasti musim ikan berlegar serta kelengkapan sesuai untuk turun memancing.
“Berbeza memancing di laut terbuka atau kelong ikan, memancing di bawah jambatan rasa lebih stabil, santai dan tidak mabuk, malah setiap kali turun memancing saya akan sediakan lebih 20 rod sementara menunggu umpan disentap ikan.
“Kalau nasib baik, boleh dapat ikan sampai 15 kilogram. Saya pernah bawa balik 30 hingga 40 kilogram hasil memancing selama 3 hari 2 malam di sini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.
Menurutnya, kawasan tersebut kaya dengan pelbagai spesies seperti talang, senangin, alu-alu, kerapu dan GT (giant trevally).
Selain hasil memuaskan, faktor kos yang jauh lebih rendah berbanding memancing laut dalam turut menjadikan lokasi itu semakin popular.
“Kalau naik bot pergi ke laut dalam mungkin menelan belanja ribu-ribu, tapi bawah jambatan ini kos bawah RM100 pun sudah memadai termasuk tambang bot dan makan.
“Soal keselamatan itu jadi tanggungjawab dan risiko pemancing sendiri, kalau rasa cuaca dan keadaan laut tidak mengizinkan memang saya tak akan turun memancing di bawah jambatan,” katanya lagi.
Minat sama turut dikongsi Saiful Azhar Mohamed Subandi, 50, yang mula memancing di bawah jambatan sejak 2017.
Mengakui ‘feel’ memancing di lokasi tersebut sangat berbeza, beliau berkata cabaran membawa naik ikan di kawasan berkenaan memberikan kepuasan tersendiri.
“Memancing bawah jambatan ini lain macam. Suasana dia, bunyi ombak, angin laut, semua tu buat kita rasa tenang.
“Sebab itu sudah jadi kebiasaan buat kami untuk luangkan masa sekurang-kurangnya dua hari satu malam di sini bagi menunggu umpan dimakan ikan sambil dapat nikmati suasana tenang sepanjang hari,” katanya lagi.
Pengalaman paling manis buat dirinya setakat ini ialah apabila berjaya membawa naik ikan GT seberat 8.6 kilogram, yang dianggap rekod terbaik sepanjang memancing di bawah jambatan.
Seorang lagi pemancing tegar, Muhammad Khairul atau Pak Long Khairul, 46, pula memilih jambatan kedua (JSAHMS) sebagai port kegemarannya kerana pemandangan yang lebih indah selain peluang mendapatkan spesies bersaiz lebih besar.
Walaupun tapak tiang di Jambatan Kedua lebih kecil berbanding jambatan pertama, ia tetap memadai baginya yang gemar turun memancing seorang diri.
“Memang sukar nak gambarkan macam mana keseronokan memancing di bawah jambatan ini. Kalau kena musim, boleh dapat hasil sampai RM600 dalam tempoh tiga hari dua malam memancing di sini.
“Kos untuk pergi memancing di bawah jambatan pun rendah selain boleh memasak dan duduk seberapa lama yang kami mahu di sini,” ujarnya.
Namun pengalaman yang sukar dilupakan berlaku pada suatu hari kira-kira jam 2.45 pagi apabila rakannya terjatuh ke laut ketika sedang mencari umpan.
Muhammad Khairul berkata, ketika itu beliau baharu sahaja mahu melelapkan mata sebelum terdengar bunyi seperti sesuatu terjatuh dari tapak tiang jambatan.
“Saya dengar bunyi jatuh, mula ingat umpan dah dimakan ikan. Rupanya kawan saya dah tak ada atas tapak. Saya cepat-cepat sambung tali dan campak life jacket untuk dia pegang. Nasib baik dia sempat diselamatkan,” katanya.
Menurutnya, aspek keselamatan perlu diberi perhatian terutama kepada pemancing baharu yang tidak biasa dengan keadaan arus dan angin laut di kawasan jambatan.
Tegasnya, pemancing wajib memakai jaket keselamatan walaupun keadaan air kelihatan tenang.