KOTA BHARU - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan melakar sejarah apabila tiga pelajar Orang Asli di negeri ini berjaya memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) selepas sedekad.
Mereka ialah Nur Muhammad Al Khawarizmi Rosmi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis dan Muhammad Putra Faizul Ab Ghani dari SK Sungai Rual yang ditawarkan ke Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, manakala Nor Christina Ranya dari SK Sri Permai pula ke Sekolah Menengah Sains Gua Musang.
Pengarah Pendidikan JPN Kelantan, Siti Norina Muhamad mengakui bukan mudah untuk melihat kejayaan tersebut kerana sebelum ini hanya seorang pelajar Orang Asli berjaya melangkah ke SBP.
“Ia berlaku 10 tahun lalu. Kali ini tiga orang. Kami berharap ramai lagi yang akan mengikut jejak langkah tiga pelajar ini pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran SBP Kepada Pelajar Orang Asli di Dewan Seri Tunjong, JPN Kelantan di sini pada Ahad.
Siti Norina berkata, pelajar yang terpilih ini bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga kokurikulum.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, bukan mudah untuk memujuk ibu bapa Orang Asli melepaskan anak mereka keluar dari pedalaman.
"Namun kita pujuk dengan menggunakan khidmat pasukan khas, alhamdulillah ia berjaya.
"Kita jumpa ibu bapa, maklum dan beri keyakinan kepada mereka, kita akan jaga anak-anak dengan baik," katanya.
Ujar beliau, tahap penerimaan masyarakat Orang Asli terhadap dunia pendidikan semakin baik dan kejayaan ini membuktikan titik tolak kepada perubahan itu.
Katanya, situasi itu membuktikan hasrat Kementerian Pendidikan ingin melihat kemajuan pendidikan dalam kalangan Orang Asli tercapai.