Kurang seminggu Ramadan, enam beranak hilang tempat tinggal

Iklan
Rumah pusaka musnah dalam kebakaran. Gambar kecil: Rozita

KOTA BHARU – Kurang seminggu menjelang Ramadan, enam sekeluarga hilang tempat tinggal apabila rumah pusaka berusia lebih 80 tahun yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Pulau Kundur di sini pada Khamis.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, tukang mewarna batik, Rozita Omar, 48, berkata, sebelum kebakaran berlaku dia sedang berehat di ruang tamu selepas makan malam.

Iklan
Iklan

“Tiba-tiba televisyen terpadam dan lampu berkelip-kelip, saya bangun tengok fius sudah terbakar.

“Tak lama lepas itu api makin marak dan cepat merebak,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurutnya, ketika kejadian suaminya, Mohd Rozi Mamat, 50, yang bekerja sebagai buruh binaan dan empat anak mereka masing-masing berusia 27, 25, 22 dan 17 tahun berada di rumah.

Kesemua mereka sempat menyelamatkan kad pengenalan dan beberapa dokumen penting sebelum keluar dari rumah.

Iklan

Malangnya kata Rozita, barangan lain musnah kerana api merebak terlalu pantas dan membakar rumah papan terbabit.

Tambahnya, kebakaran itu turut memusnahkan kira-kira 30 helai batik yang belum siap untuk diwarnakan.

“Saya ambil upah mewarna batik, sepasang RM16 dan guna warna sendiri, biasanya saya buat kerja-kerja mewarna batik di tepi rumah.

Gambar kenangan Rozita mewarnakan batik sebelum ini di rumah pusakanya.

“Ada 30 helai yang belum siap, semua hangus, hanya lapan helai sempat selamat,“ katanya yang kini menumpang di rumah kakaknya.

Menurutnya, hajat membeli bekalan makanan untuk Ramadan pada Jumaat juga tergendala kerana kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba II, Zuzuki Safei berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.56 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Kota Bharu dan BBP Pengkalan Chepa bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 11 kilometer dari balai.

“Seramai 23 anggota terlibat dalam operasi itu dengan bantuan dua jentera, satu lori tangki dan dua kenderaan utiliti.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.