KUALA LUMPUR - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa beberapa individu termasuk pegawai khas kepada bekas Timbalan Presiden parti terlibat dalam insiden sabotaj akaun Facebook rasmi Bersatu semalam.
Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, siasatan mendapati terdapat empat administrator yang mempunyai akses penuh ke atas akaun berkenaan ketika kejadian berlaku.
"Keempat-empat mereka memiliki akses kepada Content, Messages and Calls, Community Activity, Ads, Insights, Permissions, page deletion, menurut sumber Page Management History Facebook.
"Hantaran berunsur sabotaj bermula pada 14 Februari 2026 jam 8.54 pagi dan berakhir pada jam 11.44 malam pada tarikh sama. Dalam hampir 15 jam itu, sebanyak 21 hantaran telah dibuat oleh salah seorang administrator.
"Hantaran tersebut jelas menonjolkan secara positif mantan Timbalan Presiden Bersatu dan sebaliknya terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin," kata Harris Idaham.
Selain itu, kenyataan itu turut mendedahkan tindakan awal bagi menguasai akaun telah dilakukan sehari sebelum kejadian.
“Pada 13 Februari 2026 antara jam 5.34 petang dan 5.35 petang, beberapa administrator rasmi akaun tersebut telah dikeluarkan,” katanya.
Individu yang dikeluarkan daripada akses pentadbiran termasuk Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Pegawai Media Presiden, Mohd Ikhmal Abu Bakar; Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Armada, Na’im Brundage; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Sanjeevan Ramakrishnan; serta dua Ahli Jawatankuasa Penerangan Pusat, Rio Rashid dan Frankie Ridz.
Bagaimanapun, Armada Bersatu memaklumkan keempat-empat individu yang terlibat telah berjaya dikeluarkan sepenuhnya daripada sebarang akses ke akaun Facebook rasmi parti pada jam 12.41 tengah malam tadi.
Pengurusan akaun tersebut kini dikatakan telah kembali sepenuhnya kepada pegawai-pegawai rasmi Bersatu.
Armada Bersatu menyifatkan insiden itu sebagai bukti kewujudan unsur pengkhianatan dalaman dan menegaskan komitmen mereka untuk mempertahankan kepentingan serta kelangsungan parti. - Awani