SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Lembah Pantai sebulat suara bersetuju untuk membubarkan bahagian itu berkuat kuasa serta-merta.
Ketuanya, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan olehnya bersama barisan pimpinan bahagian tersebut.
"Dalam mesyuarat tersebut, saya telah memberikan ruang sepenuhnya kepada semua pihak untuk menyuarakan pandangan.
"Majoriti kepimpinan bahagian telah menghadiri Program Reset anjuran Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai solidariti dan Deklarasi bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang memperlihatkan sokongan luar biasa daripada kepimpinan dan akar umbi parti di seluruh negara.
"Saya telah membuat pertimbangan yang menyeluruh, berlandaskan akal dan tanggungjawab perjuangan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu merangkap Ketua Pembangkang dipecat keahliannya berkuat kuasa pada Jumaat.
Susulan itu, Hamzah memaklumkan satu taklimat berkaitan hala tuju dan reset politik akan diadakan pada Sabtu, yang turut melibatkan beberapa ahli Parlimen, ketua bahagian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu.
Seramai 19 Ahli Parlimen Bersatu dilaporkan menghadiri taklimat itu, yang mana wakil rakyat berkenaan terdiri daripada mereka yang tidak dipecat dan yang telah dipecat daripada parti tersebut.
Ujar Muhamad Muqharabbin, keputusan itu bukan dibuat atas kepentingan peribadi, sebaliknya bagi memastikan kesinambungan perjuangan yang berprinsip dan berpaksikan kekuatan rakyat.
Menurutnya, kehadiran luar biasa pada program taklimat berkenaan membuktikan kepimpinan tidak boleh dibina melalui paksaan, tetapi melalui khidmat dan keikhlasan mendekati ahli.
"Kehadiran ini bukan sekadar angka, tetapi satu manifestasi keyakinan, kesetiaan dan iltizam bersama untuk terus mara dalam satu saf perjuangan yang kukuh, tersusun dan berjiwa rakyat.
"Walaupun berdepan tekanan dan ugutan tindakan disiplin, para pemimpin dan ahli tetap hadir memberikan sokongan.
"Ini membuktikan bahawa Datuk Seri Hamzah bukan sekadar pemimpin organisasi, tetapi seorang tokoh yang benar-benar berakar dalam perjuangan parti, dihormati dan disayangi oleh seluruh lapisan ahli," ujarnya.
Kata beliau, keputusan tersebut adalah langkah terbaik bagi meneruskan perjuangan politik yang lebih besar demi membina kekuatan yang berpaksikan rakyat dan mempertahankan maruah serta masa depan negara.
"Tidak perlu menjadi penjilat, tetapi parti dibenci rakyat. Biar kita ditegur, tapi disayangi ahli parti dan rakyat," katanya.