DKKN dasar kekeluargaan lebih komprehensif

Iklan
Anwar (tiga kiri) dan Nancy (tiga kanan) semasa Majlis Peluncuran DKKN dan SIKR di Dewan Seri Perdana, ILKKM Sultan Azlan Shah, pada Sabtu. Foto: Bernama

IPOH – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkenalkan Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN), satu kerangka dasar yang lebih komprehensif bagi memastikan kesejahteraan keluarga menjadi keutamaan pembangunan negara.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, dasar yang dilaksanakan bagi tempoh 2026 hingga 2030 itu digubal dengan mengambil kira cabaran perubahan sosioekonomi, peralihan demografi serta impak transformasi digital terhadap kehidupan masyarakat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum ini dasar keluarga sedia ada berasaskan pelaksanaan pada tahun 2010 dan terdapat jurang dalam tempoh tersebut.

Anwar (kanan) dan Nancy (kiri) semasa Peluncuran DKKN dan SIKR di Dewan Seri Perdana, ILKKM Sultan Azlan Shah pada Sabtu. Foto: Bernama

Iklan

“Penambahbaikan utama dasar baharu ini menekankan nilai kasih sebagai elemen penting untuk mengukuhkan tali kekeluargaan.

“Nilai kasih sayang ini diterjemahkan melalui program keibubapaan yang dilaksanakan termasuk isu yang sering dibangkitkan mengenai langkah menangani masalah remaja hamil.

Iklan

“Langkah ini juga sejajar dengan saranan antarabangsa yang dibincangkan dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Child) di Geneva baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Peluncuran Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) dan Jelajah Sejahtera Madani – Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah di sini pada Sabtu.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Nancy berkata, DKKN menggunakan pendekatan kitaran hayat keluarga bermula daripada fasa praperkahwinan, pembentukan keluarga, keibubapaan sehingga ke peringkat warga emas bagi memastikan setiap peringkat kehidupan diberi perhatian sewajarnya.

Katanya, dasar itu digerakkan melalui lima teras strategik iaitu memartabatkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan, memperkasakan keupayaan perancangan keluarga, meningkatkan kemampuan dan kualiti keibubapaan, menyokong pemerkasaan keluarga secara inklusif serta menambah baik pengurusan konflik keluarga.

Poster lima teras strategik DKKN

Selain itu, DKKN mempunyai 16 strategi, tiga mekanisme pemudah cara dan 43 tindakan bersepadu untuk memperkukuh institusi keluarga di Malaysia.

“Pelaksanaan DKKN bagi tempoh lima tahun ini akan dipantau secara berterusan dan keberkesanannya diukur setiap dua tahun melalui Indeks Kesejahteraan Keluarga,” katanya.

Tambah beliau, bagi memastikan pelaksanaan DKKN jelas dan berfokus, Pelan Tindakan Keluarga Negara (PTKN) telah dirangka dengan menetapkan tanggungjawab kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

“DKKN dan PTKN ini dirangka berasaskan analisis menyeluruh terhadap trend makro yang memberi kesan langsung kepada kestabilan emosi, kesejahteraan kewangan dan keharmonian institusi keluarga,” katanya.