IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa institusi keluarga perlu terus kekal sebagai pangkalan utama pembentukan generasi dan pembangunan negara.
Beliau berkata, walaupun negara kini rancak membicarakan kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan peralihan tenaga, kekuatan sebenar masyarakat tetap bermula dari hubungan kekeluargaan di rumah.
“Dalam kita sibuk membina kekuatan negara dengan sistem pendidikan baharu dan kemudahan moden, jangan sekali-kali kita remehkan asas pendidikan keluarga dan kasih sayang sebagai pangkalan asas.
“Apabila kita sebut soal keluarga, asasnya ialah didikan dari rumah. Ibu bapa bukan sahaja mendidik anak-anak dengan kasih sayang, tetapi menjadi contoh yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam Majlis Peluncuran Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) dan Jelajah Sejahtera Madani-Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
DKKN menggariskan lima teras strategik iaitu memartabatkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan, memperkasakan keupayaan perancangan keluarga, meningkatkan kemampuan dan kualiti keibubapaan, menyokong pemerkasaan keluarga secara inklusif dan menambah baik pengurusan konflik keluarga.
Dasar ini turut merangkumi 16 strategi, tiga mekanisme pemudah cara dan 43 tindakan bersepadu bagi memperkukuh institusi keluarga di Malaysia.
Anwar berkata, pelancaran DKKN menjadi peringatan kepada seluruh rakyat bahawa pembinaan masyarakat sejahtera bukan tanggungjawab satu kementerian semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak bagi menjayakan dasar berkenaan.
“Ini bukan urusan satu kementerian sahaja. Ini urusan negara, urusan ibu bapa dan urusan kita semua untuk memastikan institusi keluarga terus kukuh,” katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam memperkasa agenda membentuk keluarga yang sihat dan murni.
Katanya, walaupun kerajaan mungkin tidak mampu menyediakan jawapan kepada semua permasalahan, usaha penambahbaikan akan dilakukan secara berperingkat dan bersistem dengan mengambil kira maklum balas rakyat dari semasa ke semasa.
“Saya minta ibu bapa, rakan-rakan dan saudara-saudari semua untuk fahami apa yang sedang kita lakukan dan kita ikhtiar sedaya upaya, lakukan perubahan untuk memperbaiki nasib,” katanya.