3 persiapan penting sebelum Ramadan

Iklan
PENTING persediaan sebelum memasuki bulan Ramadan agar semua amal ibadah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan penuh bermakna.

Ilmu, taubat dan disiplin diri antara strategi ditekankan Dr Fatimah Syarha menjelang bulan puasa ini

SEDAR atau tidak, kita semakin menghampiri untuk masuk ke Ramadan, bulan untuk umat Islam berpesta ibadah terutamanya puasa yang diwajibkan seperti termaktub dalam Rukun Islam.

Persoalannya, apakah kita sudah bersedia untuk menjalani puasa dan ibadah-ibadah lain? Atau apakah kita masih leka dengan urusan dunia yang tidak berpenghujung?

Iklan
Iklan

Untuk membincangkan mengenai persediaan pada bulan Ramadan ini, Sinar Islam Plus menemui pendakwah terkemuka, Dr Fatimah Syarha Mohd Noordin baru-baru ini.

Menurutnya, Ramadan bukan sekadar bulan untuk umat Islam menahan lapar dan dahaga semata-mata, bahkan merupakan ia bulan tarbiah berskala besar.

Iklan

“Boleh dikatakan seluruh manusia di dunia ini dimasukkan ke dalam satu madrasah yang sama untuk dididik, ditarbiah dan disusun semula rohani serta kehidupan mereka.

DR FATIMAH SYARHA

Iklan

Ujarnya, tiga asas penting yang perlu dilakukan umat Islam sebelum melangkah masuk ke bulan yang penuh dengan kemuliaan itu:

1 - Persiapan ilmu

Dr Fatimah Syarha menjelaskan, ilmu menjadi kunci kepada segala persediaan yang ingin dilakukan umat Islam.

“Untuk merasai dengan mendalam apa yang ALLAH ingin didik melalui Ramadan ini, ilmulah kuncinya.

“Tanpa ilmu, Ramadan yang kita lalui mungkin berlalu sebagai rutin biasa sahaja, bukannya tarbiah yang diinginkan ALLAH dan rasul-NYA,” jelasnya.

2 - Persiapan taubat

Menurutnya, taubat yang sebenarnya kepada ALLAH SWT bukanlah sekadar ungkapan istighfar di bibir semata-mata.

“Melalui taubat kita belajar membenci dosa dan menjauhkan diri daripada segala punca-punca yang menyebabkan kita melakukan perbuatan tersebut,” jelasnya.

JEMAAH Surah Al-Falah, Taman Puncak Jalil khusyuk mendengar ceramah yang disampaikan Dr Fatimah Syarha sempena ambang Ramadan baru-baru ini.

Di samping itu katanya, melalui taubat juga kita berazam untuk tidak kembali lagi mengulangi perbuatan-perbuatan haram yang dilarang ALLAH SWT.

“Kita mahu ‘menutup kes’ kesalah-kesalahan lampau agar Ramadan yang bakal dilalui ini menjadi ruang untuk merebut peluang keampunan selain ganjaran besar yang ALLAH janjikan,” katanya.

3 - Persiapan disiplin diri

Sambung Dr Fatimah Syarha, persiapan ketiga yang perlu dilakukan buat umat Islam yang benar-benar mahu merasai Ramadan dalam diri mereka ialah berkaitan dengan disiplin diri.

“Ramadan melatih hidup kita dengan disiplin yang lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain.

“Bermula dengan sahur, solat, ibadah lain hinggalah kepada pengurusan harian dan pengurusan masa, semuanya disusun dengan lebih teratur,” hurainya panjang.

Tambahnya, apabila seseorang itu merendahkan dahi untuk tunduk dan sujud kepada ALLAH, DIA akan membuka jalan dan menunjukkan cara untuk mengurus masa, umur dan kehidupan ini dengan lebih bermakna.

Sebagai penutup, beliau berpesan kepada seluruh umat Islam agar merancang bermula dari sekarang iaitu sebelum Ramadan menjengah tiba.

SUDAH bersediakah kita untuk berpesta ibadah pada bulan Ramadan ini?

“Laksanakan dengan bersungguh-sungguh dan buat pemantauan secara berkala.

“Insya-ALLAH dengan perancangan yang rapi dan bimbingan Ilahi, Ramadan tidak akan berlalu dengan sia-sia,” katanya.

Beliau berharap semoga Ramadan kali ini menjadi titik perubahan dan tarbiah agung yang membentuk umat islam menjadi hamba yang lebih dekat, lebih taat serta lebih berdisiplin di sisi ALLAH, sekali gus diterapkan pada bulan-bulan selepasnya.