PERSATUAN Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) mengumumkan kerjasama strategik bersama SIAD Holding Company Ltd (SIAD Holding) dalam usaha memperkukuhkan industri umrah dan haji Malaysia.
Presiden Bumitra, Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin berkata, langkah untuk bekerjsama dengan SIAD Holding yang berpangkalan di Arab Saudi itu merupakan langkah tepat memandangkan pengalaman luas mereka dalam pelbagai sektor.
“SIAD Holding memfokuskan kepada sektor haji dan umrah, hospitaliti, katering, pengangkutan, pelancongan serta perkhidmatan perjalanan sejak penubuhan mereka pada 1957.
Tambah Wan Muhamad Adam, pihaknya telah menjemput agensi-agensi umrah dan pelancongan untuk mengenali SIAD Holding dengan lebih dekat sekali gus menjalinkan kerjasama secara langsung dengan pihak mereka tanpa melalui orang tengah.
“Kerjasama antara agensi dan SIAD Holding ini dapat mengelakkan daripada berlaku perkara-perkara yang di luar daripada jangkaan seperti penipuan dan sebagainya.
“Ini juga adalah salah satu usaha daripada Bumitra bagi membina jaringan yang lebih besar berkaitan dengan segala keperluan dalam industri umrah dan haji,” jelasnya.
Menurutnya, inisiatif ini menandakan satu perubahan penting dalam cara industri haji, umrah dan pelancongan dibangunkan.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama ini adalah sebahagian daripada agenda pembaharuan industri yang lebih menyeluruh.
“Ini bukan sekadar kerjasama komersial. Ini adalah proses menaik taraf industri. Matlamat kami jelas iaitu menaikkan standard, memperkukuh tadbir urus dan memastikan jemaah Malaysia menerima perkhidmatan yang benar-benar setimpal dengan kos yang dibayar,” ujarnya.
Melalui kerjasama ini, ahli-ahli Bumitra akan memperoleh akses secara langsung kepada ekosistem perkhidmatan bersepadu SIAD Holding merangkumi hospitaliti, penginapan, katering, pengangkutan, pengurusan destinasi serta platform tempahan digital di Arab Saudi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekuti SIAD Holding, Mohannad Khogeer menyifatkan Malaysia sebagai rakan strategik yang penting dalam pembangunan industri umrah dan haji serantau.
“Fokus kami adalah menyatukan hotel, pengangkutan, katering dan pengurusan destinasi dalam satu ekosistem yang lebih tersusun, telus dan berteraskan kualiti demi meningkatkan pengalaman jemaah,” katanya.
Tambahnya, Inisiatif ini dijangka membuka peluang baharu kepada pengendali Malaysia dalam bidang seperti kontrak hotel, perkhidmatan pengendalian darat, penyelesaian katering, pengurusan pengangkutan serta integrasi platform tempahan digital, di samping menggalakkan amalan perniagaan yang lebih telus, cekap dan berskala.