KOTA TINGGI - Seorang wanita hamil tujuh bulan maut dipercayai dibunuh suaminya menggunakan lesung batu di rumah sewa mereka di Kampung Makam di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, maklumat berhubung kejadian tragis itu diterima pada jam 7 pagi.
"Suspek berusia 35 tahun ditahan di sekitar lokasi kejadian pada jam 7.30 pagi. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 3 pagi.
"Mangsa berusia 34 tahun dan suaminya merupakan etnik Rohingya," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa ditemui meninggal dunia dalam bilik sebuah rumah sewa di tingkat dua dan dipercayai mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas dihentak menggunakan objek tumpul yang disyaki lesung batu.
Yusof berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.