PUTRAJAYA – Selepas 21 hari meringkuk di Penjara Kajang kerana merogol seorang wanita, Mahkamah Rayuan di sini membenarkan pendakwah selebriti Da’i Syed dibebaskan sementara pada Jumaat.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azmi Ariffin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, untuk menggantung pelaksanaan hukuman itu.
Mendengar perkara itu, Syed Shah Iqmal yang memakai baju lokap berwarna jingga dan berkepala botak meraupkan muka dan mengucapkan kesyukuran.
Selepas prosiding, dia menuju ke arah isterinya, Hana Ismail, 40, yang berada di galeri awam mahkamah.
Hana yang memakai jubah berwarna ungu dilihat gagal mengawal perasaan turut mengurut belakang suaminya yang masih dalam keadaan bergari.
Semasa membaca keputusan sebulat suara, Azmi berkata, mahkamah mendapati terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan Syed Shah Iqmal dilepaskan dengan jaminan sehingga rayuannya diputuskan di mahkamah yang lebih tinggi.
“Alasan kami memberi pelepasan sementara ialah pemohon tidak pernah gagal menghadiri perbicaraan sama ada di mahkamah sesyen ataupun mahkamah tinggi.
“Oleh itu, kami tidak nampak, wujudnya risiko ketidakhadiran pemohon di peringkat rayuan kelak,” katanya yang bersidang bersama Hakim, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.
Selain itu beliau berkata, tiada keterangan yang menunjukkan pemohon pernah lari atau menghilangkan diri daripada prosiding di kedua-dua mahkamah rendah.
Katanya, mahkamah juga mengambil kira hujahan pembelaan, bahawa itu merupakan kesalahan pertama pemohon.
Justeru beliau berkata, mahkamah membenarkan permohonan Syed Shah Iqmal selaku pemohon namun tertakluk kepada beberapa syarat.
“Pemohon dilepaskan sementara, atas jaminan dinaikkan kepada RM40,000 dengan dua penjamin dan perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
“Boleh mohon kepada mahkamah untuk mendapatkan pasport tersebut sekiranya mahu menunaikan haji atau umrah.
“Pemohon dikehendaki melaporkan diri di balai polis di Seksyen 6 Shah Alam, Selangor sekali setiap bulan mulai Mac, sehingga rayuan utama diputuskan,” katanya.
Beliau mengingatkan, sekiranya berlaku pelanggaran pada syarat yang dinyatakan, jaminan tersebut akan dibatalkan.
Hakim juga menasihati pemohon, supaya memenuhi syarat berkenaan sepenuhnya.
Katanya, jika syarat itu dilanggar atau tidak dipatuhi maka jaminan berkenaan akan dibatalkan.
Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abdul Karim manakala pembelaan Syed Shah Iqmal diwakili peguam, M Athimulan, Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff hadir.
Semasa hujahan, Atiqah selaku responden membantah permohonan Syed Shah Iqmal untuk menangguhkan hukuman terbabit.
Bagaimanapun jika mahkamah membenarkan perkara berkenaan, responden memohon supaya syarat-syarat yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini dikekalkan.
"Pihak kami memohon supaya jaminan dinaikkan kepada RM50,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sehingga rayuan utama selesai," katanya.
Bagaimanapun, Athimulan berhujah, walaupun pemohon merupakan seorang selebriti namun haknya untuk mendapat layanan yang sama rata mesti diiktiraf oleh mahkamah.
Menurutnya, tidak dinafikan, pemohon telah disabitkan atas kesalahan berkenaan namun dia tidak seharusnya dinafikan untuk mendapatkan hak penangguhan pelaksanaan hukuman.
“Pemohon telah menunjukkan kewujudan keadaan-keadaan Istimewa yang membolehkan dia mendapatkan penggantungan hukuman," kata peguam itu.
Sebelum ini, bapa kepada dua anak perempuan berkenaan memohon kepada Mahkamah Rayuan supaya menunda hukuman pemenjaraan, selepas rayuan utamanya untuk mengetepikan sabitan bersalah termasuk hukuman penjara dan tiga sebatan, didengar di peringkat terakhir.
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, daerah sama, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019 lalu.
Dia yang didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 30 Ogos 2024, Syed Shah Iqmal menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen di sini menjatuhinya hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita, pada lima tahun lalu.
Mahkamah memerintahkan dia dihukum serta-merta selepas didapati bersalah susulan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Bagaimanapun, selepas 21 hari meringkuk di Penjara Kajang, Syed Shah Iqmal dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 20 September tahun sama.
Pada 23 Januari lalu, pendakwah itu diperintah ke penjara serta-merta selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan dan hukuman atas kes berkenaan.
Hakim, Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas menolak rayuan Syed Shah Iqmal untuk mengetepikan sabitan dan penangguhan hukuman itu dengan berpendapat, keterangan tertuduh bersifat penafian semata-mata dan tiada alasan khas bagi menangguhkan hukuman itu.
END