PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi berpotensi mencatat masa bawah 10 saat (s) dalam acara 100 meter (m) dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Keyakinan itu disuarakan bekas jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan berdasarkan prestasi semasa atlet berkenaan dalam beberapa kejohanan yang disertainya.
“Berdasarkan rakaman larian dan penilaian keseluruhan, masih terdapat beberapa aspek yang boleh diperbaiki.
“Namun saya yakin, insya-ALLAH, sama ada tahun ini atau tahun hadapan, dia mampu mencatat sub-10 kerana saya pernah melatihnya sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada sesi temu duga jurulatih olahraga kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN).
Muhammad Amir antara calon yang menghadiri sesi temu duga jurulatih kebangsaan yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis.
Dalam pada itu, beliau menyatakan kesediaan untuk kembali membimbing Azeem sekiranya khidmatnya diperlukan apabila atlet berkenaan pulang ke Malaysia pada penghujung tahun ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan tumpuannya kini adalah untuk melahirkan lebih ramai pelari pecut bagi kegunaan jangka panjang negara.
Sementara itu, Setiausaha Agung Olahraga Malaysia (MA), Nurhayati Karim, memaklumkan seramai 35 calon menghadiri sesi temu duga pertama bagi mengisi 20 kekosongan jawatan jurulatih kebangsaan merangkumi pelbagai disiplin.
Menurutnya, semua calon mempunyai latar belakang dalam sukan olahraga dengan keutamaan diberikan kepada jurulatih tempatan.
“Sekiranya calon asing dipilih, mereka tidak akan melatih atlet secara langsung, sebaliknya bertindak sebagai mentor kepada jurulatih tempatan,” katanya.
Nurhayati berkata, proses pelantikan jurulatih baharu dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya awal Mac ini.
Antara individu yang dijangka menghadiri sesi temu duga termasuk bekas ketua jurulatih olahraga para kebangsaan R Jaganathan, bekas atlet lompat kijang Hakimi Ismail dan bekas pelari 110 meter berpagar Mohd Robani Hasan.