MANCHESTER United bakal berdepan kesukaran besar sekiranya Bruno Fernandes meninggalkan Old Trafford, kata legenda The Red Devils, Michael Owen yang menganggap pemain tengah Portugal berkenaan hampir mustahil untuk digantikan.
Owen berkata, walaupun United mungkin tergoda untuk melepaskan Fernandes demi pulangan kewangan besar, kehilangan kapten pasukan itu akan memberi kesan ketara terhadap prestasi di atas padang.
Fernandes sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan keluar, termasuk minat daripada kelab Arab Saudi pada musim panas lalu, namun pemain berusia 30 tahun itu memilih untuk kekal bersama United.
Kontraknya pula akan tamat pada 2027, sekali gus membuka ruang kepada kelab mempertimbangkan penjualan pada musim panas ini.
Menurut bekas penyerang England itu, nilai komersial dan usia Fernandes mungkin mendorong pihak pengurusan membuat pertimbangan, namun sumbangannya sebagai pemain utama sukar ditandingi.
“Ia satu situasi menarik kerana faktor usia. Dia memiliki kualiti dan pengalaman, tetapi bola sepak juga satu perniagaan dan setiap pemain ada harganya.
“Jika tawaran besar diterima, seseorang perlu membuat keputusan. Gajinya juga tinggi. Namun jika dia pergi, ia benar-benar akan menyusahkan United. Mereka perlu mencari pengganti yang sangat berkualiti.
“Mencari pemain sepertinya hampir mustahil. Itulah cabaran sebenar. Situasi ini rumit untuk semua pihak,” kata Owen.
Sejak menyertai United dari Sporting CP pada Januari 2020, Fernandes sudah menjaringkan 104 gol dan mencipta 99 bantuan jaringan dalam 315 penampilan, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai nadi utama pasukan.