SHAH ALAM – Tidak bolehkah urusan pendaftaran anak diuruskan oleh pihak lain selain dirinya?
Persoalan itu dibangkitkan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berhubung ketidakhadiran Timbalan Presiden ke prosiding Lembaga Disiplin parti yang berlangsung pada Khamis.
Menurut beliau, sekiranya urusan tersebut boleh diwakilkan kepada pihak lain, maka tiada halangan untuk Datuk Seri Hamzah Zainudin menghadiri prosiding yang disifatkannya sebagai penting.
"Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri (penganalisis politik) menyebut kehadiran prosiding Lembaga Disiplin sangat Penting.
"Zaharuddin juga menyebut ini bukan kali pertama Timbalan Presiden tidak hadir dan menekankan bahawa ketidak hadiran menunjukkan tiada penghormatan kepada Lembaga Disiplin," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan prosiding Lembaga Disiplin Bersatu terhadap Ahli Parlimen Larut itu tetap diteruskan seperti dijadualkan meskipun Ketua Pembangkang itu berada di luar negara.
Hamzah kini berada di Sydney, Australia, bagi mengurusan pendaftaran anak perempuannya ke universiti.
Dalam pada itu Tun Faisal turut membangkitkan persoalan sama ada prosiding tersebut boleh dihadiri secara sidang video yang menurutnya mungkin boleh diatur oleh pegawai Hamzah.
Beliau turut membuat perbandingan berdasarkan pengalamannya ketika bersama UMNO.
"Dalam UMNO dahulu kaedahnya cukup mudah, saya dan 42 orang lagi dipecat dan lima lagi digantung hanya melalui keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
"Semasa dipanggil kali pertama untuk hadir prosiding sebelum digantung enam tahun, panggilan Lembaga Disiplin dalam surat menyatakan 'adakah bersetuju dengan dakwaan atau jika tidak bersetuju diminta hadir untuk membela diri'.
"Jika gagal hadir pada tarikh dan masa ditetapkan disebut 'Lembaga Disiplin tetap akan membuat keputusan," jelasnya.