PUTRAJAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli yang dilihat lebih banyak meluahkan pandangan di media sosial sebagai tidak membantu usaha memperkukuh parti, malah berisiko mencetuskan perbalahan dalam kalangan ahli akar umbi.
Exco AMK Malaysia yang juga Ketua Biro Media Baru AMK Malaysia, Dzul Hilmi Zainol berkata, sebagai seorang Ahli Parlimen yang memenangi kerusi atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH), Rafizi seharusnya menggunakan saluran dalaman parti untuk menyampaikan sebarang teguran atau pandangan.
Menurutnya, tindakan melontarkan kenyataan secara terbuka di media sosial hanya menyebabkan ahli berkelahi sesama sendiri dan menimbulkan suasana kurang sihat dalam parti.
“Jika benar mahu memperjuangkan kebenaran, perkara tersebut wajar dibincangkan dalam platform rasmi parti, bukannya sekadar di media sosial.
“Inilah yang kita namakan sebagai perangai diva,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, teguran Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Konvensyen PKR Selangor baru-baru ini merupakan mesej jelas kepada semua pimpinan dan ahli parti supaya memberi tumpuan kepada kerja memperkukuh organisasi, bukan mencetuskan polemik dalaman.
Sabtu lalu, Anwar ketika berucap pada konvensyen berkenaan menegaskan bahawa PKR memerlukan individu yang fokus dan sanggup bekerja keras bagi memastikan mandat rakyat terus dipelihara.
“PKR mesti ingat, fokus dalam kerja ini. Mandat ini satu amanah untuk bekerja. Sanggup bekerja, kekal. Tidak mahu bekerja, keluar. Sanggup bekerja, tumpu membangun dan memperkukuh parti, kekal. Berleter, merengek tidak habis-habis boleh keluar kerana kerja kita masih banyak,” katanya.
Dalam pada itu, Dzul Hilmi berkata, beliau yakin jika Rafizi bukan Ahli Parlimen ketika ini, situasinya mungkin berulang seperti episod selepas Pemilihan Parti Keadilan 2018 apabila beliau tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan tidak memegang jawatan sebagai wakil rakyat.
Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan bahawa Rafizi tidak mahu PH terus menerajui kerajaan.
“Saya yakin beliau sedar bahawa kerajaan hari ini berada pada landasan memperjuangkan nasib rakyat dan masa depan negara.
“Semasa beliau menjawat jawatan sebagai menteri, isu rakyat dan usaha membersihkan negara juga menjadi agenda utama kepimpinan kerajaan,” katanya.