MyDigital ID jalin kerjasama 15 institusi kewangan perkukuh pengesahan identiti

Iklan
Megat Zuhairy (duduk, tiga dari kanan) bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis Menandatangani MoU di antara MyDigital ID dengan 15 institusi kewangan di sini pada Khamis. / Foto: Mohd Halim Abdul Wahid

KUALA LUMPUR – My Digital ID Sdn Bhd (MyDigital ID) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 15 institusi kewangan dan syarikat fintech bagi memperkukuh pengesahan identiti dalam ekosistem kewangan negara.

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, kerjasama itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan serta kebolehpercayaan perkhidmatan kewangan digital.

Iklan
Iklan

Megat Zuhairy / Foto: Mohd Halim Abdul Wahid

Menurutnya, teknologi e-pengesahan MyDigital ID akan diuji dan dilaksanakan dalam sistem pendaftaran pelanggan serta pengesahan transaksi institusi terlibat.

Iklan

"Apabila pengesahan identiti menjadi lebih kukuh, akaun palsu lebih sukar diwujudkan, penyamaran dapat dibendung, pengesanan penipuan lebih tepat dan siasatan lebih berkesan.

"Secara ringkas, keseluruhan ekosistem digital menjadi lebih selamat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemeteraian MoU antara MyDigital ID bersama institusi kewangan, di sini pada Khamis.

Iklan

Megat Zuhairy (lima dari kiri) bersama wakil bank pada Majlis Menandatangani MoU di antara MyDigital ID dengan 15 institusi kewangan di sini pada Khamis. / Foto: Mohd Halim Abdul Wahid

Dalam pada itu beliau memaklumkan, peningkatan mendadak kes penipuan e-kewangan di negara ini membimbangkan apabila mencatat lonjakan sehingga 185 peratus dalam tempoh setahun.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,812 kes direkodkan pada 2024 sebelum meningkat kepada 5,159 kes pada 2025.

"Lebih membimbangkan ialah impak kewangan apabila kerugian akibat penipuan e-kewangan pada 2025 mencecah RM458.7 juta berbanding RM65.5 juta pada tahun sebelumnya.

"Angka ini mewakili peningkatan 600 peratus. Secara purata, rakyat Malaysia kehilangan kira-kira RM38.2 juta setiap bulan akibat penipuan kewangan dalam talian," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Inovasi dan Penyampaian Teknologi MyDigital ID, Azrin Aris berkata, kerjasama strategik antara MyDigital ID dan sektor kewangan yang digerakkan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) bermula sejak tahun lalu menerusi pelaksanaan sandbox.

Azrin / Foto: Mohd Halim Abdul Wahid

Katanya, inisiatif itu memberi ruang kepada institusi kewangan menguji keberkesanan sistem dari aspek keselamatan menggunakan MyDigital ID.

“Sandbox ini membolehkan pihak bank dan institusi kewangan menilai tahap keselamatan serta keupayaan pengesahan identiti sebelum pelaksanaan secara lebih meluas.

“Daripada usaha tersebut, beberapa bank mula menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan MyDigital ID bagi memastikan keselamatan pengguna serta melindungi rakyat daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Beliau menegaskan, MyDigital ID menggunakan data rasmi yang disediakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tujuan pengesahan identiti.

“Sistem ini tidak menyimpan data di tengah, sebaliknya hanya mengesahkan maklumat antara institusi kewangan dan JPN bagi memastikan individu yang mengakses akaun adalah pemilik sebenar dan bukan penyamar.

“Walaupun tiada sistem mampu menjamin keselamatan 100 peratus, usaha berterusan perlu digerakkan bagi mengurangkan penyalahgunaan identiti,” ujarnya.

Setakat ini, aplikasi MyDigital ID sudah mempunyai hampir 10 juta pengguna.