McDonald’s Malaysia labur RM1 bilion, rancang buka 100 restoran baharu

Iklan
McDonald's Pandu-Lalu Titiwangsa memperkenalkan konsep rekaan Luna, sekali gus menjadi restoran yang pertama seumpamanya di Malaysia dan kedua di Asia.

KUALA LUMPUR – McDonald’s Malaysia  mengumumkan pelan pelaburan bernilai  RM1 bilion bagi tempoh lima tahun akan  datang sebagai langkah memperkukuh  pengembangan rangkaian restoran jenama  itu di negara ini.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi  Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk  Azmir Jaafar berkata, perancangan itu juga  secara tidak langsung membuka banyak  peluang pekerjaan baharu, sekali gus  meningkatkan kebolehpasaran belia di  seluruh negara.

Iklan
Iklan

Dari kiri: Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pembangunan McDonald’s Malaysia, Hamid Ahmad, Pengurus Besar Restoran McDonald’s Titiwangsa, Wong Xinru, Azmir dan Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai ketika merasmikan pembukaan semula McDonald's Titiwangsa.

“Daripada jumlah itu, sebanyak  RM600 juta diperuntukkan untuk  pembukaan restoran baharu termasuk  latihan kakitangan dan inisiatif  pembangunan belia di bawah Akademi  Vokasional McDonald’s.

Iklan

“Peruntukan berkenaan melibatkan  pembukaan 100 restoran baharu dan  mewujudkan 10,000 pekerjaan sambil  menekankan dasar pengambilan pekerja  100 peratus anak tempatan,” katanya  ketika berucap pada Majlis Pembukaan  Semula McDonald’s Pandu Lalu Titiwangsa  di Jalan Pahang, baru-baru ini.

Dalam pada itu beliau menjelaskan,  sebanyak RM200 juta diperuntukkan  untuk kerja-kerja pengubahsuaian,  pembaikan dan pemodenan di lebih 150  restoran sedia ada di seluruh negara.

Iklan

Selain itu RM200 juta lagi akan digunakan  untuk pelaburan dalam penyelesaian  teknologi dan inisiatif pendigitalan  perniagaan termasuk penambahbaikan  sistem jualan di aplikasi McDonald’s.

“Dalam masa sama, McDonald’s  Malaysia turut mencatatkan prestasi  memberangsangkan apabila merekodkan  pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak  26 peratus pada 2025 meskipun berdepan  persekitaran perniagaan yang mencabar.

“Prestasi itu didorong oleh permintaan  pelanggan yang berterusan, tawaran nilai  kepada pengguna, inovasi menu secara  konsisten serta fokus terhadap  kecemerlangan operasi di seluruh  rangkaian restorannya,” ujarnya.

Perluas francais di Sabah, Sarawak Sebagai usaha mengembangkan  operasi jenama makanan segera terkenal  itu, Azmir memaklumkan, McDonald's  Malaysia akan mengukuhkan kehadirannya  di Sabah dan Sarawak serta seluruh  Semenanjung Malaysia, terutama di  kawasan permintaan tinggi.

"Kami melihat potensi pertumbuhan  yang ketara di Sabah dan Sarawak,  memandangkan masih banyak bandar  tidak mempunyai restoran McDonald's. 

“Pada masa sama, kami akan terus  berkembang di Lembah Klang dan lokasi  pertumbuhan tinggi lain di Semenanjung  Malaysia," katanya.

Selain itu, syarikat tersebut turut  merancang mengembangkan francaisnya  daripada 25 cawangan semasa yang  dikendalikan oleh 11 pemegang francais  dengan menyasarkan antara 70 hingga  100 restoran dalam tempoh lima hingga  10 tahun akan datang.

Menurutnya, francais memerlukan pelaburan besar iaitu kira-kira RM5 juta  hingga RM7 juta setiap restoran dengan  tempoh pembayaran balik antara tiga  hingga lima tahun.

“Pengembangan ini dijangka mewujudkan  lebih daripada 10,000 pekerjaan baharu  untuk rakyat Malaysia, seiring dasar  pengambilan pekerja tempatan 100 peratus  oleh syarikat ini.

"Setiap restoran yang dibuka turut  merangsang aktiviti ekonomi tempatan  yang bukan sahaja di restoran kami, tetapi  merentasi sektor sokongan seperti  logistik, pengubahsuaian, bekalan  peralatan, pembersihan dan perkhidmatan  keselamatan," katanya.

Pengusaha restoran khidmat segera itu kini  mengendalikan lebih 370 restoran di seluruh  negara dan mencatatkan pertumbuhan tahun  ke tahun sebanyak 26 peratus pada tahun  2025 walaupun beroperasi dalam persekitaran  perniagaan yang mencabar.

Akademi Vokasional McDonald’s Sementara itu, mengulas mengenai  pembangunan tenaga kerja, Azmir  memberitahu ia kekal sebagai tonggak  utama strategi pelaburan syarikat melalui  Akademi Vokasional McDonald's yang  ditubuhkan dengan kerjasama  Kementerian Sumber Manusia (KESUMA)  di bawah Sistem Latihan Dual Nasional.

Beliau menjelaskan, akademi  berkenaan telah melatih lebih 5,000 belia  termasuk peserta daripada komuniti  berpendapatan rendah (B40), kawasan  luar bandar, orang kurang upaya dan kumpulan Orang Asli sejak 2018.

“Akademi ini berperanan sebagai  saluran bakat yang bukan sahaja untuk  McDonald's, tetapi ekosistem makanan  dan minuman serta hospitaliti Malaysia  yang lebih luas.

“Kira-kira 80 peratus daripada mereka  telah memilih untuk meneruskan kerjaya  dengan kami,” ujarnya.

Pada 2023 pula beliau berkata, jenama  itu menubuhkan satu daripada sembilan  pusat latihan Hamburger University global  di Kuala Lumpur, sekali gus mencerminkan  komitmen syarikat terhadap pembangunan  kepimpinan dan pembelajaran sepanjang  hayat.

Pelaburan berkenaan dijangka akan  menyokong perusahaan kecil dan  sederhana (PKS) Malaysia dengan kira-kira  75 peratus makanan dan pembungkusan  diperoleh daripada sumber tempatan.

"Malaysia merupakan antara  pengeksport produk makanan halal  terbesar dalam rantaian bekalan global  McDonald's yang membantu mengukuhkan  rantaian bekalan domestik serta  menyokong pembekal dan petani  tempatan.

“Kecekapan operasi juga kekal menjadi  keutamaan, membolehkan syarikat  mengekalkan harga menu kompetitif.

"Pada 2025, kenaikan harga menu  kami adalah kira-kira separuh daripada  kadar inflasi Malaysia yang turut disokong  oleh penambahbaikan berterusan dalam  kecekapan rantaian bekalan dan operasi  restoran," katanya.