KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendesak siasatan dijalankan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung dakwaan pemilikan saham dalam sebuah syarikat.
Mas Ermieyati berkata demikian susulan pendedahan laporan agensi berita antarabangsa, Bloomberg yang mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
“Tolong berlaku adil, jangan ada sikap dua darjat sebab jika orang lain yang kena (terpalit isu itu) mereka boleh disiasat.
“Ada satu keraguan yang munasabah, apabila beliau kata sudah jual (saham) pada Julai tahun lalu, maksudnya sebelum ini tidak menjadi masalahkah?
“Sedangkan anda sudah ada dalam pegangan saham berkenaan,” kata pemimpin Perikatan Nasional (PN) tersebut di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.
Sebelum itu, beliau hadir dalam prosiding pengurusan kes saman pemula Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang didakwa ditandatangani tanpa dirujuk kepada Parlimen.
Turut hadir Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dan peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.
Mas Ermieyati yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut menzahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Anwar pada Rabu yang menolak desakan supaya pemimpin nombor satu SPRM itu meletak jawatan.
“Adakah dengan menyatakan bahawa seseorang rajin bekerja, jadi tidak mengapa, kamu buat apa pun ia dibolehkan.
“Pada saya, perkara yang amat serius dan saya mengulangi desakan agar beliau meletakkan jawatan sekiranya dakwaan itu benar,” katanya.
Susulan penyiaran laporan media antarabangsa itu, Azam mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg berhubung laporan yang disifatkannya 'mengelirukan' dan 'berunsur fitnah' sehingga mencetuskan protes menuntut meletakkan jawatan.
Pada 11 Februari, Azam menafikan masih memegang saham dalam mana-mana syarikat dan menyifatkan laporan yang dikeluarkan media antarabangsa itu berniat jahat.