Pemandu e-hailing didakwa kejar pelajar perempuan dengan pisau

Iklan
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

MELAKA - Seorang pemandu e-hailing yang didakwa mengejar seorang wanita sambil memegang pisau di sebuah pusat beli-belah minggu lalu berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Khamis.

Tertuduh, Lim Toh Seng, 50, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Iklan
Iklan

Bagi pertuduhan pertama, bapa tunggal itu didakwa memiliki sebilah pisau tanpa kebenaran yang sah di tempat awam sekitar jam 9.30 malam Sabtu lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir pusat beli-belah di bandaraya Melaka dalam daerah Melaka Tengah.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan ketakutan kepada seorang pelajar perempuan berusia 21 tahun di lokasi sama dengan mengejarnya sambil membawa sebilah pisau.

Iklan

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi pertuduhan pertama dan RM10,000 bagi pertuduhan kedua, berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu pengadu dan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Sementara itu, peguam tertuduh, Ishak Mohd Kari, memohon agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan jaminan bertujuan memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan bukannya sebagai hukuman.

Katanya, tertuduh juga bakal menyambut Tahun Baharu Cina yang sudah tentu membabitkan kos kewangan.

“Tertuduh bekerja sebagai pemandu e-hailing dengan pendapatan tidak menentu, selain menyara anak sendirian selepas isterinya pulang ke China.

“Tertuduh juga baru kehilangan RM10,000 selepas ditipu seorang wanita warga Vietnam sebelum ini, yang turut menjejaskan kewangannya,” katanya.

Hakim Raja Noor Adilla kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi pertuduhan pertama dan RM3,000 bagi pertuduhan kedua dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, berserta syarat tambahan.

Sebutan semula kes ditetapkan 26 Mac depan.