KAJANG - Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang meninggal dunia akibat keracunan methadone di Sungai Ramal Baru di sini pada Rabu, sempat menulis sepucuk surat penghargaan kepada rakan-rakannya.
Perkara itu didedahkan oleh bapa saudaranya menerusi ruangan komen aplikasi TikTok, yang memaklumkan arwah menulis surat berkenaan ketika bermain bersama rakan-rakan.
"Dia buat surat terima kasih sebab sudi jadi kawannya. Perkara itu kawan-kawannya sendiri beritahu kepada saya. Arwah juga memang jenis suka belanja kawan.
“Lepas itu dia (arwah) cakap dia akan meninggal dulu dekat kawan-kawan dia, seolah-olah dia tahu dia akan pergi," katanya menggunakan nama hiddenbabyyeah.
Menurut individu itu, keluarga menafikan dakwaan bahawa mangsa diberikan ubat berbahaya secara sengaja, sebaliknya kejadian dipercayai berpunca daripada kekeliruan botol ubat yang mempunyai rupa dan label hampir sama.
Katanya, ibu mangsa ketika itu berada dalam keadaan terlalu letih selepas menjalani rawatan fisioterapi di hospital.
“Ibu dia (arwah) iaitu kakak saya tidak sangka itu sebenarnya ubat lain, sebab ubat yang diberi sama bentuk dan label pun putih jadi kakak saya anggap sama (ubat berkenaan),” katanya.
Beliau turut memaklumkan, tiga daripada empat beradik mengambil ubat berkenaan, manakala abang sulung terselamat kerana tidak memakannya.
Dalam perkembangan terkini katanya, dua lagi adik mangsa yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dilaporkan kritikal namun stabil serta sudah sedar.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia, manakala dua adiknya masih menerima rawatan selepas dipercayai diberi minum cecair berbahaya jenis methadone oleh ibu mereka.
Difahamkan, kejadian terbongkar selepas ketiga-tiga kanak-kanak itu dikejarkan ke Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN) dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 7.50 pagi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima maklumat daripada pegawai perubatan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin berhubung tiga kanak-kanak lelaki warga tempatan yang dibawa ke Jabatan Kecemasan kira-kira pukul 9.01 pagi.
Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia kira-kira 11 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Manakala, dua lagi mangsa masing-masing berusia sekitar 10 dan lima tahun menerima rawatan di ICU.
Susulan kejadian itu, Shazeli berkata, polis telah menahan ibu dan bapa mangsa berusia lingkungan 35 dan 44 tahun pada hari sama bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.