Buang puntung rokok merata: Polis bantuan didenda RM600, diperintah jalani khidmat masyarakat

Iklan
Mohd Hashim (kanan) dan Herrykurniawan hadir ke mahkamah diiring penguat kuasa SWCorp.

SEREMBAN - Seorang polis bantuan didenda RM600 serta dikehendaki menjalani perintah khidmat masyarakat selama enam jam oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah membuang puntung rokok di tempat awam, bukan di dalam tong sampah yang disediakan.

Hakim, Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hashim Mohd Nor, 37 selaku orang kena saman (OKS) serta memerintahkannya menjalani hukuman penjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda.

Iklan
Iklan

Khidmat masyarakat pula perlu diselesaikan OKS dalam tempoh enam bulan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hashim telah membuang sisa pepejal iaitu putung rokok di kaki lima hadapan Terminal Bas Nilai yang merupakan tempat awam dan bukannya di dalam bekas yang diperuntukkan bagi membuang sisa pepejal tersebut.

Iklan

Kesalahan tersebut dilakukan pada 4 Januari 2026, jam lebih kurang 11.30 pagi.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672] dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 77A(2).

Iklan

Sebagai tambahan, boleh dikenakan suatu perintah khidmat masyarakat di bawah Subseksyen 77B(1) akta sama.

Sabit kesalahan, denda tidak lebih RM2,000 dan membuat suatu perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 13 jam secara agregat dalam tempoh tidak melebihi enam bulan.

OKS yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda yang minimum kerana hanya memperoleh pendapatan RM2,500 serta mempunyai lima tanggungan.

Selain itu, seorang lagi OKS iaitu Herrykurniawan, 25, turut dijatuhkan hukuman sama selepas mengaku bersalah membuang putung rokok di tepi longkang hadapan sebuah klinik di Nilai pada 1 Januari lalu, jam lebih kurang 1.01 pagi.

Dia yang masih bujang merayu dendanya dikurangkan kerana tiada pekerjaan tetap serta mempunyai dua tanggungan.

Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Siti Adora Rahtimin memohon mahkamah mengenakan hukuman denda setimpal serta perintah khidmat masyarakat terhadap kedua-dua tertuduh supaya dapat memberi pengajaran kepada seluruh lapisan masyarakat.