LONDON - Sebuah pesawat Wizz Air dari London ke Tel Aviv diiringi jet pejuang Israel selepas berlaku kebimbangan keselamatan akibat seorang penumpang kecil menukar nama Wi‑Fi kepada “terrorist”.
Insiden itu berlaku pada 8 Februari 2026, menurut laporan New York Post.
Pesawat W95301 sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion apabila kru kabin dimaklumkan mengenai nama hotspot Wi‑Fi yang mencurigakan.
Penumpang lain yang cuba menyambung ke Wi‑Fi terlihat perkataan “terrorist” dan segera memberitahu kru kabin.
Menurut laporan New York Post, jet pejuang dikerahkan untuk mengiringi pesawat sehingga mendarat dengan selamat di Israel.
Pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap penumpang dan bagasi di lapangan terbang bagi memastikan tiada ancaman sebenar.
Pemeriksaan mendapati, nama Wi‑Fi tersebut adalah milik telefon penumpang dan dipercayai telah ditukar oleh seorang kanak‑kanak secara jenaka sebelum menaiki pesawat.
Tiada sebarang ancaman keselamatan sebenar dikesan.
Insiden itu turut menyebabkan gangguan sementara terhadap penerbangan lain di lapangan terbang sebelum operasi kembali normal.
Jurucakap Wizz Air menegaskan, keselamatan penumpang dan kru adalah keutamaan syarikat.