Jamil Khir akui dengar Raja Abdullah janji derma kepada Najib

Iklan
Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau pernah mendengar sendiri janji derma yang didakwa diberikan oleh Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010.

Jamil Khir, 64, berkata, perkara itu didengari beliau dalam satu pertemuan tidak rasmi antara Najib dan Raja Abdullah di istana baginda di Riyadh, yang turut dihadiri seorang jurubahasa Raja Abdullah, bekas Menteri Luar Tan Sri Anifah Aman, bekas Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Prof Datuk Syed Omar Al-Saggaf dan beliau sendiri pada 11 Januari 2010.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata perbualan itu tidak berlaku di hadapan umum, sebaliknya hanya antara Najib, Raja Abdullah dan jurubahasanya.

"Semasa kedua-duanya (Najib dan Raja Abdullah) berjalan bersama, Datuk Seri Najib memberi isyarat supaya saya menyertai perbincangan mereka.

Iklan

"Saya kemudian mengekori mereka dan berdiri sedikit di belakang Datuk Seri Najib, namun masih dalam jarak untuk mendengar perbualan serta terjemahannya. Perbualan sulit itu antaranya menyentuh mengenai sumbangan dana oleh Raja Abdullah kepada Datuk Seri Najib.

"Jika tidak silap, Raja Abdullah turut memaklumkan bahawa sumbangan dana itu akan dihantar tidak lama selepas mesyuarat itu dan disalurkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib atas sebab-sebab tertentu.

Iklan

"Saya difahamkan akaun peribadi itu dipilih bagi memudahkan urusan politik beliau serta mengelakkan kerumitan sekiranya dana disalurkan terus kepada mana-mana entiti atau organisasi politik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh peguam mewakili Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dalam saman sivil RM42 juta yang difailkan SRC International Sdn Bhd bersama anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, terhadap bekas perdana menteri itu.

Jamil Khir berkata, berdasarkan anggapannya, sumbangan yang didakwa daripada Arab Saudi itu diberikan kepada Najib kerana negara tersebut kagum dengan pendekatan Islam moden yang diamalkan Malaysia selain ketegasan Malaysia dalam menolak fahaman Syiah.

Bagaimanapun, semasa pemeriksaan balas oleh peguam Kwan Will Sen mewakili SRC International, beliau bersetuju bahawa pandangan mengenai Arab Saudi yang kononnya kagum dengan Malaysia itu hanyalah pendapat peribadinya.

Saman sivil yang difailkan pada 2021 oleh SRC dan Gandingan Mentari itu menuntut pengisytiharan bahawa Najib bertanggungjawab ke atas RM42 juta serta ganti rugi bagi penerimaan yang mengetahui, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam dan penyalahgunaan kuasa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung 2 Mac. - Bernama