KAJANG – Seorang ibu dipercayai tergamak memberi minum cecair berbahaya jenis methadone kepada tiga anak lelakinya sehingga mengakibatkan seorang daripadanya meninggal dunia dalam kejadian di Sungai Ramal Baru, di sini pada Rabu.
Kejadian itu dipercayai terbongkar selepas ketiga-tiga kanak-kanak terbabit dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa yang maut ialah kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, manakala dua lagi adiknya berusia sembilan dan lima tahun kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Difahamkan, polis menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.01 pagi hasil laporan pegawai perubatan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN).
Pihak hospital sebelum itu menerima tiga pesakit kanak-kanak lelaki pada jam 7.50 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri untuk rawatan kecemasan.
Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu disahkan meninggal dunia dan seorang adiknya berusia lima tahun kini ditempatkan di ICU manakala seorang lagi menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan.
Selain itu, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku selepas ibu mangsa yang berusia 35 tahun memberi ubat jenis methadone kepada ketiga-tiga anaknya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.