Pengarah NGO, penolong pengarah syarikat direman kes seleweng dana awam RM500,000

Iklan
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu. Foto: SPRM

PUTRAJAYA – Seorang pengarah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seorang penolong pengarah syarikat direman empat hari kerana disyaki menyalah guna kuasa dengan menyeleweng dana awam berjumlah kira-kira RM500,000.

Perintah reman sehingga 14 Februari ini terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 4 petang pada Selasa.

Sumber itu berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2025.

Iklan

“Kedua-dua suspek dipercayai telah memperdaya orang awam untuk menyalurkan sumbangan kebajikan dan bantuan kemanusiaan melalui NGO tersebut, sedangkan sumbangan yang diterima tidak disalurkan kepada penerima,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, susulan daripada perbuatan berkenaan, SPRM telah membekukan 13 akaun persendirian termasuk akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM2 juta.

Iklan

Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.