Kartel ayam: Keputusan CAT beri mesej penyelarasan harga dalam rantaian boleh jejas pengguna

Iklan
Makanan ayam merupakan komponen kos utama dalam industri penternakan unggas. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Keputusan Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) yang mengekalkan penalti RM415.5 juta terhadap empat syarikat pengeluar makanan ayam dilihat memberi mesej jelas bahawa sebarang penyelarasan harga dalam rantaian bekalan makanan boleh menjejaskan pengguna akhir.

Keputusan sebulat suara itu sekali gus mengesahkan dapatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bahawa wujud koordinasi menaikkan harga makanan ayam antara 31 Januari 2020 hingga 30 Jun 2022.

Iklan
Iklan

Menerusi kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Iskandar Ismail menegaskan makanan ayam merupakan komponen kos utama dalam industri penternakan unggas.

"Sebarang kenaikan terancang pada peringkat input berpotensi meningkatkan kos pengeluaran ayam sebelum dipindahkan kepada pasaran runcit," katanya pada Rabu.

Iklan

Dalam konteks pasaran tempatan yang sensitif terhadap isu harga ayam, beliau menjelaskan tindakan menetapkan kadar kenaikan secara bersama boleh memberi kesan langsung kepada pengguna serta kestabilan rantaian bekalan protein negara.

"CAT bersetuju dengan dapatan MyCC bahawa Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd, Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd, FFM Berhad dan Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd telah berkoordinasi bagi menetapkan jumlah kenaikan harga makanan ayam.

Iklan

"Tribunal berkenaan mendapati keputusan MyCC disokong bukti kukuh selepas meneliti dokumen serta mendengar hujahan kedua-dua pihak sepanjang prosiding rayuan," ujar beliau.

Dalam penghakiman CAT mengesahkan bahawa perjanjian antara pesaing untuk menetapkan harga adalah satu pelanggaran serius di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 kerana ia secara automatik dianggap memudaratkan persaingan.

Sehubungan itu, semua penalti kewangan serta arahan yang dikenakan MyCC dikekalkan, termasuk penalti tambahan terhadap sebuah syarikat kerana mengganggu proses siasatan.

Tribunal turut menegaskan bahawa jumlah penalti berkenaan berada dalam had dibenarkan undang-undang dan setimpal dengan tahap keseriusan pelanggaran yang berlaku.

Lebih penting, CAT menolak dakwaan syarikat terbabit bahawa MyCC bertindak tidak adil, tanpa asas atau melanggar prinsip proses sewajarnya.

Tribunal memutuskan siasatan dijalankan dalam ruang kuasa sah serta mematuhi prosedur ditetapkan di bawah Akta Persaingan 2010.

Tambah Iskandar, keputusan itu memperkukuh peranan suruhanjaya dalam memastikan pasaran berfungsi secara telus dan kompetitif.

“Pasaran berfungsi dengan baik apabila perniagaan bersaing secara jujur dan bebas. Apabila pesaing menyelaras harga, ia menjejaskan proses persaingan dan boleh memberi kesan negatif kepada pengguna serta ekonomi secara keseluruhan.

“MyCC akan terus memantau kelakuan syarikat terlibat serta pemain lain dalam pasaran bagi memastikan pematuhan penuh terhadap Akta Persaingan 2010.

"Suruhanjaya ini kekal komited mempertahankan keputusan dalam kes ini dan mengambil tindakan tegas terhadap perlakuan anti-persaingan demi melindungi perniagaan serta pengguna di Malaysia,” katanya.

Pada Disember 2023, lima syarikat pengisar makanan ayam dikenakan penalti berjumlah RM415.5 juta kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel penetapan harga makanan ayam.

Lima syarikat itu ialah Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup); FFM Berhad (FFM); Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin); Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dindings) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro).

Selain penalti, MyCC juga mengarahkan lima syarikat terbabit untuk menghentikan penyertaan daripada terlibat dalam kartel makanan ayam dan mengemukakan laporan mengenai peningkatan dan penurunan harga makanan ayam.