Kerajaan tumpu pembangunan usahawan bumiputera, perkasa daya saing

Iklan
Akmal Nasrullah (depan, tengah) bersama peserta program TERAJU Aspirasi Outreach 2026.

PETALING JAYA – Kerajaan memberikan tumpuan khusus terhadap pembangunan usahawan Bumiputera di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan penyertaan mereka dalam ekonomi negara beralih ke sektor bernilai tinggi dan lebih berdaya saing.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, fokus tersebut digerakkan melalui intervensi yang lebih tersasar, terutama melibatkan 11 sektor berpotensi Bumiputera serta industri berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).

Iklan
Iklan

“Antara intervensi utama yang telah dirangka merangkumi pengukuhan institusi pembiayaan ekuiti, penyediaan dana pemangkin dan akses pembiayaan alternatif yang disediakan melalui agensi mandat bumiputera termasuk Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

“Kerajaan juga akan memberikan tumpuan untuk mengukuhkan model perniagaan dan menambah baik ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera supaya menyokong peralihan kepada aktiviti yang menghasilkan nilai tambah lebih tinggi, seterusnya menyumbang dengan lebih signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena program TERAJU Aspirasi Outreach 2026 di sini pada Rabu.

Akmal Nasrullah menyampaikan ucapan ketika merasmikan program TERAJU Aspirasi Outreach 2026 pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Seri Nor Azmie Diron dan Timbalan Setiausaha (Penyelidikan Ekonomi), Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Kementerian Ekonomi, Dr Nirwan Noh.

Ujar Akmal Nasrullah, bagi memastikan agenda berkenaan bergerak pantas, inisiatif penskalaan PKS dilaksanakan menggunakan pendekatan keseluruhan kerajaan dengan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi pelaksana mengikut fungsi serta mandat masing-masing.

Tambah beliau, TERAJU dalam ekosistem yang sama akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam mentransformasikan landskap ekonomi Bumiputera, khususnya dalam mempercepatkan penskalaan perniagaan dan penciptaan nilai syarikat.

“Selain itu, TERAJU juga berperanan memperkukuh ekosistem keusahawanan, memudah cara pelaburan bernilai tinggi serta membuka akses pasaran dan rantaian nilai strategik kepada syarikat Bumiputera.

“Saya berharap pihak TERAJU akan terus mengekalkan momentum pada tahun 2026 melalui inisiatif yang dilancarkan pada hari ini bagi mempercepatkan pertumbuhan perniagaan, merealisasikan penciptaan nilai syarikat yang sebenar dan memudah cara pelaburan berimpak tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi berkata, pihaknya mengenal pasti wujudnya jurang pertengahan dalam ekosistem syarikat bumiputera seperti kekangan pembiayaan dan keupayaan organisasi serta akses pasaran modal yang terhad, sekali gus mengehadkan keupayaan mereka untuk mengembangkan perniagaan.

Junady menyampaikan ucapan sempena program TERAJU Aspirasi Outreach 2026 pada Rabu.

Katanya, justeru tahun ini TERAJU bukan sahaja melaksanakan program penskalaan syarikat, malah memperkenalkan program yang memfokuskan peningkatan dan penskalaan nilai secara lebih menyeluruh.

Ujar beliau, empat program baharu iaitu ASCEND, ENHANCE, XCELERATE dan Dana Pengambilalihan Strategik Bumiputera (BSAF) turut diperkenalkan bagi memperkukuh keupayaan syarikat, meningkatkan kesiapsiagaan pelaburan serta mempercepatkan penskalaan perniagaan Bumiputera.

“Bagi syarikat yang mencapai tahap kesiapsiagaan tertentu, sokongan akan diteruskan ke fasa seterusnya sebagai persediaan ke arah penyenaraian awam.

“Bagi syarikat dalam kategori ‘upper small’ dan ‘low-mid market’ yang sering berdepan kekangan akses pembiayaan, TERAJU turut menyediakan satu lagi program pemudahcaraan strategik untuk memperkukuh kredibiliti perniagaan, supaya syarikat lebih bersedia dan layak mengakses pembiayaan daripada institusi kewangan serta dana pembangunan,” kata Junady.