SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mempersoalkan bagaimana seorang penjawat awam mampu memperoleh saham dan waran bernilai jutaan ringgit.
Meskipun tidak menamakan individu yang dirujuk, namun kenyataan tersebut dipercayai dituju kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang kini terpalit dengan kontroversi pemilikan saham.
Menurut bekas Ahli Parlimen Damansara itu, isu utama bukan semata-mata pengisytiharan pegangan saham tetapi bagaimana beliau mampu memilikinya.
“Soalannya bukan mengenai sama ada anda mendedahkan pembelian dan pelupusan saham tersebut.
“Soalannya ialah bagaimana anda mampu memperoleh semua saham dan waran bernilai berjuta-juta ringgit ini sebagai seorang penjawat awam.
"Dari mana dan bagaimana anda, sebagai seorang pegawai kanan kerajaan yang berkhidmat dalam kerjaya awam, memperoleh kekayaan sedemikian?" soalnya menerusi hantaran di media sosial pada Rabu.
Media pada Selasa melaporkan, Bloomberg mendedahkan bahawa Azam disenaraikan memegang 17.7 juta saham dalam syarikat perkhidmatan kewangan, Velocity Capital Bhd, berdasarkan penyata tahunan yang difailkan pada 3 Feb tahun lalu.
Mengikut harga penutup pada Isnin, pegangan tersebut bernilai kira-kira RM800,000.
Susulan pendedahan itu, ketua pesuruhjaya berkenaan berkata dia telah mengisytiharkan pegangan sahamnya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun tidak menyentuh isu kegagalannya mematuhi had RM100,000 bagi setiap syarikat yang ditetapkan untuk penjawat awam.
Azam juga menyatakan bahawa dia telah melupuskan saham tersebut dalam tahun yang sama ia dibeli.
Malaysiakini sekali lagi mendedahkan, Azam didakwa memiliki saham dalam sebuah lagi syarikat yang sekali lagi berkemungkinan tidak mematuhi peraturan had pemilikan ekuiti oleh penjawat awam.
Semakan dengan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), portal berita itu mendapati bahawa setakat 13 Jan tahun ini, Azam memiliki lebih sedikit daripada 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad, atau pegangan sebanyak 1.08 peratus.
Azam pada sidang media khas di ibu pejabat SPRM pada Rabu menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pegangan saham sejak tahun lalu.
“Saya tidak mempunyai sebarang saham lagi, tunjukkan kepada saya fakta jika saya masih mempunyai saham, Awan Biru mana? Saya tidak tahu,” katanya.