SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melepaskan jawatannya susulan dakwaan pelbagai kegagalan dalam mengurus tadbir negeri termasuk isu tebatan banjir, pengurusan sampah, projek rumah mampu milik dan pengurusan penternakan babi.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, kelemahan itu membuktikan kerajaan negeri ketika ini tidak kompeten dan gagal memenuhi keperluan rakyat.
Menurutnya, selain isu pengurusan asas, kerajaan negeri juga didakwa gagal menangani beberapa isu semasa menunjukkan kegagalan pentadbiran negeri.
"Menteri Besar sepatutnya menjawab setiap persoalan pembangkang dengan tenang dan matang, bukannya mengeluarkan herdikan yang memalukan rakyat Selangor," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap tindakan Menteri Besar yang didakwa mengherdik Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri baru-baru ini sambil menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak wajar dan tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin negeri.
Dalam pada itu, Mohamed Sukri berkata, pihaknya mendesak kerajaan negeri menghentikan sebarang proses pembangunan membabitkan cadangan projek seluas 169 ekar di antara Hutan Simpan Air Hitam Bandar Kinrara 5 dan Taman Wawasan.
Katanya, projek yang dimaklumkan kepada penduduk sekitar pada November tahun lalu itu dijangka berlangsung selama 15 tahun dan merangkumi pembinaan kondominium serta lot komersial.
"Kerajaan negeri perlu segera menghentikan proses penilaian impak sosial yang sedang dijalankan dan mewartakan kembali kawasan berkenaan sebagai Hutan Simpan Negeri Selangor secara rasmi.
"Kawasan itu adalah khazanah negeri yang amat berharga. Penduduk di Puchong dan Kinrara juga sudah berdepan pembangunan pesat, kepadatan penduduk serta kesesakan trafik yang serius," tambah beliau.
Mengulas isu perumahan, beliau turut mendesak kerajaan negeri membentangkan jumlah terkini permohonan rumah mampu milik serta jumlah projek yang berjaya disiapkan setakat ini.
Tegas beliau, berdasarkan pembentangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebelum ini, usaha menjayakan agenda rumah mampu milik dilihat gagal mencapai sasaran.
Pada masa sama, beliau berkata, Pemuda Pas Selangor menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan supaya tiada penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu serta titah berkaitan rumah ibadat tidak sah.
Katanya, isu cadangan penternakan babi di Bukit Tagar sebelum ini juga mencerminkan tindakan tergesa-gesa kerajaan negeri tanpa penelitian menyeluruh terhadap kesan alam sekitar.
"Keputusan seperti itu seolah-olah tidak mengambil kira pandangan agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar.
"Justeru, kami menggesa Menteri Besar melepaskan jawatan atas kegagalan mentadbir negeri dengan baik,” katanya.
Mohamed Sukri turut memaklumkan satu himpunan jentera pilihan raya Pemuda Pas Selangor akan diadakan pada awal Mac depan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.