SHAH ALAM – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menasihati seluruh ahli parti itu di Perlis supaya kekal taat kepada kepimpinan parti yang dilantik oleh pimpinan pusat susulan konflik pentadbiran negeri itu sebelum ini.
Menerusi surat terbuka kepada ahli Pas Perlis, beliau berkata, kepimpinan Pas Pusat yang dipilih dan dilantik oleh Muktamar Tahunan parti berkuasa mentadbir serta melantik jawatan-jawatan di semua peringkat termasuk pesuruhjaya Pas negeri dan menteri besar.
Katanya, disebabkan itu, pelantikan tersebut wajib ditaati oleh semua ahli Pas berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW mengenai jihad.
“Jihad itu wajib bersama ketua yang dilantik, sama ada dia seorang yang baik atau seorang yang jahat, melainkan arahan mengerjakan maksiat.
“Pas Pusat telah memilih Pesuruhjaya Pas Negeri Perlis daripada kalangan ahli Majlis Syura Ulama, jawatan yang paling bersih dalam Pas,” katanya pada Rabu.
Sabtu lalu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mendakwa isu dalaman Pas Perlis terutama membabitkan bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, boleh diselesaikan lebih awal jika pimpinan di pusat menanganinya lebih awal.
Menurut Hashim, beliau telah melaporkan perkara yang dianggap tidak wajar berlaku di Perlis itu kepada pimpinan pusat termasuk Presiden parti, namun tindakan susulan yang diharapkan tidak berlaku.
Mohd Shukri meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada 25 Disember lalu atas faktor kesihatan selepas laporan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN), termasuk tiga daripada Pas, menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menarik sokongan terhadap beliau.
Tiga wakil rakyat Pas yang dikatakan berbuat demikian ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Majlis Syura Ulama Pas kemudian dilaporkan menerima permohonan kemasukan semula bekas tiga ADUN Perlis itu yang akan diserahkan kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, untuk pertimbangan Pas Pusat.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Majlis Syura Ulama bertanggungjawab memastikan dasar tertinggi parti berlandaskan al-Quran dan sunnah, manakala urusan pentadbiran berada di bawah bidang kuasa Pas Pusat selagi tidak bercanggah dengan dasar tertinggi parti.
“Adapun pelaksanaan dasar hukum tertinggi Pas iaitu al-Quran dan as-Sunnah serta Ijmak Ulama dan Qias dipertanggungjawabkan kepada Majlis Syura Ulama.
“Ia mengikut Fasal 8(1) Perlembagaan Pas yang dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dewan Ulama Pas Pusat, Dewan Pemuda Pas Pusat, Dewan Muslimat Pas Pusat serta dilantik anggota tambahan oleh Majlis Syura Ulama itu sendiri.
“Maka, Majlis Syura Ulama tiada kaitan dengan pentadbiran selagi tidak bercanggah dengan dasar tertinggi,” ujarnya.
Abdul Hadi menegaskan, pihaknya juga telah melakukan tabayyun atau siasatan terhadap aduan dari Perlis sejak awal menerima pengaduan selepas memenangi pilihan raya negeri.
Menurutnya, beberapa wakil Pas Pusat dihantar ke Perlis bagi melakukan tabayyun dan pemimpin Pas kawasan dijemput hadir untuk mendengar pengaduan secara bersemuka serta menjalankan siasatan lanjut.
“Adapun pertemuan dengan para pemimpin Pas kawasan di Pejabat Agung mendedahkan sifat mereka yang tidak memenuhi ciri-ciri ahli parti Islam yang bertarbiah. Secara tidak segan silu melahirkan rasa tidak berpuas hati terhadap beberapa keputusan parti dan kepimpinan negeri.
“Antaranya apabila sebilangan mereka menonjolkan diri masing-masing sebagai paling layak memegang jawatan tetapi tidak dilantik, sifat yang disebut oleh Rasulullah SAW sebagai tidak layak diberi jawatan,” kata beliau.
Abdul Hadi turut mendakwa terdapat laporan berlakunya lobi tidak berakhlak dalam mesyuarat parti yang menurutnya berpotensi merosakkan perpaduan dalaman serta menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.
Selain itu, ujarnya, sebahagian pihak gagal memahami cabaran pentadbiran kerajaan negeri yang masih baharu serta keterbatasan bidang kuasa kerajaan negeri dalam menyelesaikan beberapa isu.
“Ada antara mereka juga tidak menghormati hak pesuruhjaya dalam bertindak menyelesaikan masalah dan menentukan keputusan secara syura yang diberikan oleh al-Quran.
“Didapati mereka juga tidak beristiqamah menghadapi tekanan pihak luar dan tidak mempertahankan perjuangan parti sehingga melaksanakan langkah di luar jemaah yang bercanggah dengan perjuangan parti yang menentang salah laku dan penyelewengan yang mahu merosakkan kerajaan negeri,” tambahnya.
Kata beliau, situasi tersebut berakhir dengan menyokong tindakan khianat menjatuhkan kerajaan Pas sehingga diberi kepada pihak lain, sekali gus menunjukkan sikap tidak setia kawan.
“Kesimpulannya, kepercayaan kami terhadap Pesuruhjaya Pas yang dilantik adalah sangat tinggi. Apa yang berlaku ialah sikap tidak wala’ kepada parti dan tidak taat kepada pemimpin yang dilantik oleh pimpinan Pas Pusat tanpa alasan yang sebenar,” tegasnya lagi.