Bersatu Johor kekal sokong Muhyiddin, desak tindakan tegas terhadap Hamzah

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung 14 Ketua Bahagian Bersatu Johor yang mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin.

JOHOR BAHRU – Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menafikan dakwaan mereka telah hilang kepercayaan terhadap Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketuanya, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, dakwaan yang dibuat oleh segelintir Ketua Bahagian itu tidak benar, mengelirukan dan tidak pernah mendapat mandat daripada BPN Johor mahupun majoriti Ketua Bahagian Bersatu di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kenyataan terbabit hanyalah pendirian peribadi individu tertentu dan sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi kepimpinan parti di peringkat negeri.

“BPN Johor kekal menyatakan sokongan penuh kepada Presiden parti.

Iklan

"Kepimpinan beliau adalah tonggak kestabilan parti dan sebarang usaha untuk menimbulkan persepsi sebaliknya hanya akan melemahkan organisasi serta mengelirukan ahli di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu pada Selasa, seramai 14 Ketua Bersatu Johor mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan kegagalan memimpin parti.

Iklan

Ketua Bahagian Tanjung Piai, Musa Khamis berkata, ia termasuk kegagalan menguruskan krisis dalaman secara efektif serta penyalahgunaan prosedur disiplin terhadap pimpinan utama parti.

Dalam pada itu, BPN Johor mendesak Lembaga Disiplin Bersatu supaya mengambil tindakan tegas terhadap Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta mana-mana penyokongnya yang didakwa berulang kali mengeluarkan kenyataan terbuka dan melakukan tindakan bercanggah dengan perlembagaan parti serta keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Katanya, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tindakan dan kenyataan pihak-pihak yang dikaitkan dengan Hamzah jelas mencabar autoriti parti dan mencetuskan ketidakharmonian dalaman, sekali gus berpotensi menjejaskan kesiapsiagaan parti menghadapi cabaran politik akan datang.

"BPN Johor bersama Ketua-Ketua Bahagian Bersatu Johor, selari dengan pendirian kepimpinan di beberapa negeri lain, telah mencapai ketetapan untuk mengemukakan satu memorandum rasmi kepada Presiden dan MPT Bersatu bagi mendesak Lembaga Disiplin memecat Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Memorandum ini bertujuan memastikan tindakan disiplin yang tegas, adil dan muktamad diambil terhadap mana-mana individu yang secara berterusan melanggar Perlembagaan Parti serta mencabar keputusan parti,” katanya.

Sebelum ini, Hamzah didakwa bakal dipanggil menghadap lembaga disiplin parti itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) dan serangan terhadap Muhyiddin.

Berdasarkan surat yang didakwa sebagai notis panggilan kali kedua bertarikh 6 Februari dan ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, empat aduan disiplin secara bertulis dikemukakan terhadap Hamzah masing-masing pada 30 September 2025 dan 5 Februari lalu.

Notis berkenaan turut menyatakan kegagalan menghadiri sesi tersebut membolehkan Lembaga Disiplin membuat keputusan tanpa rujukan lanjut dan sebarang keputusan adalah muktamad.