Amanah bukan parti gila kuasa - Khalid

Iklan
Khalid Abd Samad

SHAH ALAM - Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd Samad menafikan partinya gila kuasa apabila meminta Barisan Nasional (BN) bersikap terbuka bagi pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

Sebaliknya Khalid menjelaskan, partinya berpegang kepada prinsip muafakat dalam berkerjasama dan bergabung bukan seperti didakwa Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bukti paling jelas apabila Amanah menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi membolehkan kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya yang lalu.

“Jika Amanah sebuah parti yang gila kuasa, itu tidak akan dilakukan.Yang gila kuasa adalah yang tidak sanggup berunding dan berbincang demi menjamin kemantapan gabungan dan itu bukanlah pihak kami.

Iklan

“Amanah menghayati konsep Kerajaan Perpaduan, dimana bergabung dan berkongsi kuasa diutamakan demi kepentingan Negara.

“Mementingkan parti sendiri mengaburkan pandangan dan pertimbangan dan ia bukan cara kami. Kongsi kuasa dalam bergabung adalah pilihan yang jelas lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Abdul Halim sebelum ini mendakwa tindakan Amanah yang terus menuntut pembahagian kawasan dalam PRN Johor dan Melaka disifatkan sebagai gilakan kerusi dan kuasa.

Menurutnya, tindakan Amanah yang terus menerus membangkitkan perkara tersebut jelas memperlihatkan fokus dan agenda sebenar mereka bukan khidmat kepada rakyat, tetapi obsesi terhadap kuasa dan kerusi.

Abdul Halim mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai respons kepada Khalid yang sebelum ini meminta supaya BN bersikap lebih terbuka dengan bersedia berunding dan melepaskan kerusi disandang pada PRN Melaka dan Johor.

Sementara itu, Khalid turut menggesa supaya semua parti dalam Kerajaan Madani memperkukuhkan kesepakatan dan kemantapan kerjasama melalui rundingan dan perbincangan. Semua pihak ada kekuatan dan semua pihak harus dihargai

"Sebagai orang Islam pula, kita wajib berpegang keapada ayat ALLAH surah Al- Imran 159 yang bermaksud:“dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (pemerintahan) dan kemudian setelah engkau berazam, maka bertawakallah kepada ALLAH.."

"Adalah diharap semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan berpegang kepada pepatah Melayu dan ayat ALLAH ini di mana kepentingan semua pihak diambil berat dan bukan kepentingan satu pihak semata-mata.