KOTA TINGGI -"Luluh hati saya, isteri bersama bayi kami pergi selamanya ketika berbaki lagi seminggu Ramadan. Dua lagi anak kami masih di zon merah Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru."
Demikian luah Muhammad Asyraf Yatim,34, suami kepada Nor Balqis Yazid, 24, yang maut bersama anak Mohd Bilal Asyraf berusia tiga bulan dalam kemalangan di Kilometer 65, di Jalan Sungai Rengit- Kota Tinggi.
Dalam kejadian pada jam 7 malam Selasa, kereta Perodua Bezza dipandu Nor Balqis bersama lima penumpang termasuk tiga anaknya terbabit nahas dengan sebuah lori.
Muhammad Asyraf berkata, dia dimaklumkan oleh seorang rakan mengenai nahas yang menimpa isteri dan anaknya itu pada jam 7 malam.
"Ketika itu saya berada di rumah di Felda Air Tawar 2. Saya terus gerak ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer. Sebaik tiba, saya tidak mampu menahan sebak.
"Saya keluar dari kereta dan cuba mendekati isteri namun tidak sempat memangku kerana dia tersepit di dalam kenderaan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi pada Rabu.
Jelasnya, ketika itu dua anak perempuan berusia lapan dan empat tahun dan Mohd Bilal berusia tiga bulan sudah dibawa ke hospital.
"Saya kemudian bergegas ke hospital. Mohd Bilal ketika itu masih bernyawa dan terpaksa dibantu dengan oksigen, namun akhirnya menghembuskan nafas terakhir.
"Dua lagi masih dirawat di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru, kerana mengalami kecederaan.
"Mereka kini ditempatkan di zon merah di mana yang sulung mengalami pendarahan di kepala, manakala anak kedua pula mengalami pendarahan di bahagian perut," katanya lagi.
Muhammad Asyraf memberitahu arwah isteri sempat berpesan suoaya saya menyusul untuk turut makan malam bersama di luar.
"Mereka keluar ke bank di bandar Kota Tinggi dulu dan singgah makan. Isteri sempat berpesan supaya datang makan bersama sekitar jam 8 malam.
"Saya cukup sedih apabila mengenangkan hasrat isteri yang mahu mengenakan pakaian sedondon berwarna perang pada pagi Raya," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Jakim Sufian, 16, rakan kepada arwah Nor Balqis berkata, dia tidak menyangka ajakan arwah bersama seorang lagi rakan mereka untuk keluar makan bersama-sama petang Selasa berakhir dengan insiden itu.
"Kawan sekerja kami yang bersama arwah dalam kereta itu ada menghubungi saya kira-kira jam 5.30 petang untuk mengajak keluar makan bersama.
“Tapi masa itu saya menolak sebab baru bangun tidur. Kami memang kerap keluar makan bersama-sama lebih lebih lagi pada waktu cuti.
"Namun tidak sampai satu jam, sepupu menghubungi memaklumkan arwah dan rakan terlibat dalam kemalangan dan arwah meninggal dunia,” katanya yang menyifatkan arwah seorang kakak yang sangat peramah dan baik.