'Saya tak sekolah, baca pun tak tahu'

Iklan
Tidak mengetahui syarat lesen, tidak bersekolah atau tidak tahu membaca dikenal pasti antara alasan diberikan segelintir nelayan ketika pemeriksaan dalam Ops MARDOF.

PELABUHAN KLANG – Tidak mengetahui syarat lesen, tidak bersekolah atau tidak tahu membaca dikenal pasti antara alasan diberikan segelintir nelayan ketika pemeriksaan dalam Ops MARDOF di perairan Kuala Selangor dan Sekinchan pada Selasa.

Malah, terdapat individu yang diperiksa mendakwa telah memohon lesen vesel nelayan selain memberi alasan tidak memahami syarat yang ditetapkan jabatan walaupun telah lama menjalankan aktiviti penangkapan ikan.

Iklan
Iklan

Dalam operasi yang bermula jam 9 pagi hingga 7 petang itu, sebuah vesel tanpa nombor pendaftaran ditahan di perairan Sementa ketika sedang giat menaikkan pukat hanyut serta mengumpul hasil tangkapan ke dalam bekas simpanan.

Pemeriksaan mendapati individu terbabit gagal mengemukakan dokumen vesel selain tidak memiliki lesen sah sebagai nelayan bagi menjalankan aktiviti penangkapan ikan.

Iklan

Antara bot yang diperiksa dalam operasi dijalankan pada Selasa.

Selain alasan tidak mengetahui syarat lesen, antara alasan lain yang sering diberikan termasuk baharu menceburi bidang perikanan, terlupa membawa dokumen, vesel milik individu lain serta mendakwa tidak dimaklumkan mengenai peraturan jabatan.

Iklan

Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, sepanjang operasi penguatkuasaan itu, sebanyak 10 vesel nelayan tempatan diperiksa.

Beliau berkata, antara yang diperiksa melibatkan empat vesel nelayan tempatan (VNT) Zon A menggunakan pukat hanyut, lima VNT Zon B pukat tunda udang baring dan satu VNT Zon B1 pukat tunda udang baring.

“Antara kesalahan lain yang dikesan termasuk membawa peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan dan alat pemadam api yang tidak mencukupi.

“Selain itu, kesalahan lain yang dikesan melibatkan penandaan kod zon vesel yang tidak mengikut spesifikasi, penggunaan Malaysian Acetes Efficiency Device (MAED) yang tidak berwarna oren serta membawa dua jenis pukat ketika mengoperasikan pukat tunda udang baring,” katanya pada Rabu.

Katanya, operasi bersepadu bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menunjukkan perkembangan positif dalam kalangan nelayan dari aspek pematuhan syarat lesen serta peruntukan Akta Perikanan 1985.

Sepanjang operasi penguatkuasaan itu, sebanyak 10 vesel nelayan tempatan diperiksa.

Menurutnya, majoriti vesel yang diperiksa mematuhi syarat termasuk saiz mata keroncong, lokasi penangkapan ikan serta penandaan nombor pendaftaran di bahagian hadapan dan bumbung vesel.

“Namun masih terdapat segelintir yang gagal mematuhi peraturan khususnya berkaitan dokumentasi dan syarat-syarat lesen vesel serta peralatan menangkap ikan.

“Alasan tidak tahu syarat lesen atau tidak tahu membaca tidak boleh dijadikan justifikasi untuk melanggar peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Perenggan 8(a) kerana mengusahakan aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen sah dan Perenggan 11(3)(a) kerana mengendalikan peralatan menangkap ikan tanpa lesen.

Tambah Noraisyah, pihak jabatan akan meneruskan sesi penerangan dan libat urus bersama komuniti nelayan bagi memastikan mereka memahami sepenuhnya syarat serta peraturan yang ditetapkan.

Beliau berkata, pendekatan pendidikan dan penguatkuasaan secara serentak penting bagi memastikan kelestarian sumber perikanan serta pematuhan undang-undang dalam kalangan pengusaha industri berkenaan.