Bapa rogol anak dijel 12 tahun, enam sebatan

Iklan
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Marudu.

KOTA MARUDU - Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa, selepas mengaku bersalah merogol anak kandungnya dalam kejadian di Pitas.

Tertuduh berusia 37 tahun itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim A Akhiruddin Acho.

Iklan
Iklan

Menurut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap anak perempuannya yang berusia 16 tahun di dalam sebuah kenderaan di kawasan tepi sungai di Pitas.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Iklan

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan selain mengenakan perintah pengawasan polis selama tiga tahun sebaik tertuduh tamat menjalani hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhayl Aminin Sallehuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja yang mendakwa dia dirogol oleh bapa kandungnya.

"Bertindak atas laporan tersebut, pada hari sama sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu berjaya menahan suspek.

"Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda milik suspek dan pakaian berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut," katanya.

Simiun berkata, siasatan dilakukan dengan bantuan pasukan forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

"Kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

"Pada 20 Januari lalu, tertuduh telah didakwa di mahkamah dan tiada jaminan yang ditawarkan. Kes disebut semula hari ini di Mahkamah Kota Marudu," katanya.