SKMM tumpaskan sindiket Fake BTS

Iklan
Sindiket Fake BTS ditumpaskan dalam satu operasi bersepadu di Bukit Chagar, Johor Bahru. Foto SKMM

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya menumpaskan aktiviti sindiket pemancaran Stesen Pangkalan Palsu (Fake BTS) dalam satu operasi di kawasan Bukit Chagar di sini pada Selasa.

SKMM dalam satu kenyataan memberitahu, operasi itu dilaksanakan susulan maklumat diterima serta pemantauan teknikal dan analisis rangkaian pihaknya yang mengesan corak pemintasan rangkaian telekomunikasi dan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu kepada pengguna.

Iklan
Iklan

"Dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama-sama pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi pada hari ini, pasukan penguat kuasa mengenal pasti seorang individu dan sebuah kenderaan yang digunakan sebagai platform pemancaran Fake BTS.

"Pemeriksaan di lokasi mengesahkan penggunaan peranti komunikasi tidak diperakui yang berupaya memintas rangkaian sah dan menghantar SMS palsu secara terus kepada peranti pengguna di sekitarnya," menurut kenyataan itu.

Iklan

Jelas SKMM, maklumat yang diperoleh turut menunjukkan bahawa individu yang terlibat direkrut untuk mengendalikan peranti Fake BTS melalui tawaran pekerjaan dengan bayaran harian.

Kenyataan berkenaan memaklumkan, itu merupakan satu taktik yang digunakan sindiket bagi memperluas operasi tanpa mendedahkan struktur sebenar rangkaian mereka.

Iklan

"Penemuan ini mengukuhkan kewujudan rangkaian sindiket yang menyasarkan pengguna di kawasan tumpuan awam, sekali gus meningkatkan risiko penipuan serta mengancam integriti sistem telekomunikasi negara," ujar kenyataan itu.

Kes diambil tindakan bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Bagi kesalahan bawah Seksyen 239 Akta 588, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, pelaku boleh didenda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah kenyataan itu, SKMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi oleh sindiket tidak bertanggungjawab.

Usaha pemantauan teknikal serta tindakan penguatkuasaan tegas SKMM, akan terus diperkasakan bagi melindungi pengguna dan memastikan keselamatan serta kebolehpercayaan rangkaian komunikasi negara.