DUNGUN – Seorang juruteknik maut selepas kereta dipandunya terbakar dipercayai akibat dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 13, Jalan Paka–Bandar Al Muktafi Billah Shah, berhampiran Bandar Ketengah Jaya, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Mohd Junaidi Mamat, 43, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai juruteknik syarikat minyak dan gas sedang dalam perjalanan dari kediamannya di Felda Kerteh 1 menuju ke tempat kerja di kawasan perindustrian Kerteh di Kemaman.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Hilux hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh Perodua Axia yang dipandu mangsa serta sebuah kenderaan jenis Proton Persona.
"Impak rempuhan itu menyebabkan Perodua Axia terbakar," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Maizura berkata, mangsa bagaimanapun berjaya keluar dari kenderaan dengan bantuan orang awam sebelum dikejarkan ke klinik berkenaan.
"Mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika menerima rawatan.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurut beliau, pemandu serta penumpang Toyota Hilux dan Proton Persona dilaporkan terselamat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.