Sudah sampai masa Muhyiddin berundur, bina semula kekuatan parti - Ronald

Iklan
Ronald

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menggesa supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatannya sebagai presiden bagi membina semula kekuatan parti.

Ronald berkata, ia kerana bekas Perdana Menteri itu didakwa gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan, sehingga dibiarkan berlarutan ke tahap yang hampir mustahil untuk dipulihkan.

Iklan
Iklan

“Lebih malang, Muhyiddin dilihat menggunakan seluruh baki kekuatan yang ada semata-mata untuk mempertahankan kedudukannya sebagai presiden demi memenuhi agenda peribadi untuk kembali menjadi Perdana Menteri, termasuk menghalang laluan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada memimpin Bersatu pada masa hadapan.

“Oleh yang demikian, untuk memulihkan dan membina semula kekuatan sebenar Bersatu, termasuk memperkukuhkan hubungan strategik bersama rakan komponen Perikatan Nasional (PN), sudah sampai masanya Muhyiddin mempertimbangkan untuk berundur daripada jawatan Presiden Bersatu,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, Hamzah didakwa bakal dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) serta serangan terhadap Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu.

Berdasarkan surat yang didakwa sebagai notis panggilan kali kedua, bertarikh 6 Februari dan ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, empat aduan disiplin secara bertulis telah dikemukakan terhadap Hamzah masing-masing pada 30 September 2025 dan 5 Februari lalu.

Iklan

Notis berkenaan turut menyatakan kegagalan menghadiri sesi tersebut membolehkan Lembaga Disiplin membuat keputusan tanpa rujukan lanjut, dan sebarang keputusan adalah muktamad.

Ujar Ronald, tindakan Lembaga Disiplin parti yang menghadap Hamzah, atas tuduhan lama dan baharu dilihat sebagai langkah regresif serta bercanggah dengan usaha memperkukuh perpaduan dalaman parti.

“Lebih membimbangkan, tindakan menghadapkan ketua bahagian termasuk wakil rakyat ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Hamzah memperlihatkan penyalahgunaan prosedur disiplin secara terdesak.

“Ia bagi membungkam suara pimpinan utama parti daripada terus menyampaikan pandangan, teguran dan maklum balas demi kelangsungan serta masa depan Bersatu,” ujarnya.

Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan pandangan rakyat terhadap Bersatu semakin hilang arah dan tersasar daripada matlamat perjuangan sebenar.

“Ia seolah-olah perjuangan parti kini hanya tertumpu kepada usaha mengekalkan kuasa Muhyiddin serta melindungi kelompok penyokong pemimpin tertentu, tanpa mengambil kira hubungan dan kepercayaan rakan-rakan parti sahabat dalam gabungan Perikatan Nasional (PN),” katanya.