JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan selewat-lewatnya pada November ini, selaras dengan perkembangan politik semasa.
Naib Pengerusinya, Zuhan Zain berkata, Amanah Johor telah bersedia sepenuhnya untuk menggerakkan jentera parti di semua peringkat, termasuk kawasan dan cawangan, bagi menghadapi PRN secara tersusun dan menyeluruh.
Iklan
Iklan
Jelasnya, Amanah Johor juga siap berdepan sebarang kemungkinan pertandingan, sama ada dua penjuru atau tiga penjuru, dengan fokus utama memastikan kemenangan berpihak kepada Pakatan Harapan demi kestabilan dan masa depan negeri.
"Kesepaduan dalam Pakatan Harapan adalah asas penting untuk menawarkan kepimpinan yang stabil, progresif, dan berintegriti kepada rakyat Johor.
“Amanah Johor komited untuk terus bersama Pakatan Harapan dalam menghadapi PRN kali ini bagi memastikan kepimpinan yang terbaik untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH yang terdiri daripada DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
PN pula menang tiga kerusi yang mana Bersatu dua, manakala Pas, satu sementara Parti Ikatan Demokratik (Muda) juga satu kerusi.