SHAH ALAM – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas kenyataan Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur.
Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid menegaskan Ronald tidak layak untuk bercakap mengenai perkara tersebut.
Menurutnya, hal ini kerana Bersatu yang dipimpin oleh Ronald tewas di semua kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Tambahan pula, majoriti calon Bersatu hilang deposit.
“Sebagai sayap pemuda dalam Bersatu, Armada ingin melihat satu pasukan kepimpinan yang bersatu padu untuk menggembleng tenaga bagi mencapai kejayaan besar untuk parti,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Ronald menggesa supaya Muhyiddin berundur daripada jawatannya sebagai presiden bagi membina semula kekuatan parti.
Ronald berkata, gesaan itu dibuat kerana bekas Perdana Menteri berkenaan didakwa gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan sehingga dibiarkan berlarutan ke tahap yang hampir mustahil untuk dipulihkan.
Tambah Harris Idaham, Armada berpendapat tindakan disiplin wajar diambil sekiranya terdapat pihak yang cuba menggugat kestabilan parti melalui pelbagai rancangan demi mencapai agenda tertentu.
“Ia lebih baik daripada membenarkan keutuhan parti dihancurkan dari dalam,” ujarnya.