Dua pengarah syarikat didakwa pecah amanah lebih RM500,000

Iklan
Dua pengarah sebuah syarikat bistro dan kafe mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM543,382.23. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Dua pengarah sebuah syarikat bistro dan kafe mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM543,382.23.

Alice Yeo @ Yeo Lik Chien, 49, dan Ong Jyh Shyang, 60, didakwa sebagai pengarah Syarikat Shisha Lounge & Cafe Sdn Bhd, yang diberi amanah menguruskan kewangan syarikat, telah memindahkan wang berkenaan ke akaun bank milik sebuah syarikat lain.

Iklan
Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Solaris pada 4 Januari 2023 dan 7 Julai 2025, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan menyerahkan pasport dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Iklan

Peguam N Grace yang mewakili Alice memohon jaminan dikurangkan antara RM20,000 hingga RM30,000 kerana anak guamnya menghadapi kemurungan dan masalah buah pinggang.

Manakala peguam Segeran yang mewakili Jyh Shyang memohon jaminan RM10,000 atas alasan anak guamnya menanggung keluarga dan menghidap penyakit darah tinggi serta kencing manis.

Iklan

Hakim Azrul Darus membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM25,000 setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 13 Mac ini untuk sebutan kes. - Bernama