Rumah ibadat tak sah: Selangor laksana tindakan ikut undang-undang - Amirudin

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Amirudin

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor akan melaksanakan tindakan mengikut lunas undang-undang terhadap rumah ibadat yang dibina di atas tapak tidak sah dengan pendekatan berhemah bagi menjamin keharmonian masyarakat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi kuasa penuh kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk 'membersihkan’ rumah ibadat tidak sah akan mempercepatkan pelaksanaan tindakan sedia ada di Selangor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, negeri itu telah mempunyai sistem tersusun sejak lebih 15 tahun lalu menerusi Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang kini dikenali sebagai Jawatankuasa Rumah Ibadat Lima Agama Selangor (LIMAS).

"Sepanjang 15 tahun lalu, kita bukan sahaja membenarkan rumah ibadat beroperasi di lokasi sesuai dan sah, malah turut mengambil tindakan merobohkan atau melupuskan rumah ibadat yang dibina secara tidak teratur.

Iklan

"Puluhan tindakan telah dilaksanakan dan rekod itu ada sejak 2015 lagi," katanya ketika ditemui semasa sidang akhbar selepas Perasmian Pecah Tanah Projek Ladang Berskala Besar (LSS5), di sini pada Selasa.

Amirudin menegaskan, hak penganut agama untuk beribadat tetap dihormati, namun ia perlu dilakukan di lokasi yang sah serta tidak melanggar undang-undang.

Iklan

"Orang nak beribadat kita beri ruang, tetapi tempatnya mestilah sah, namun apa yang ditekankan Perdana Menteri ialah ‘rule of law’ dan itu juga pendekatan Selangor," tegasnya.

Ujarnya, sebelum 2008, isu rumah ibadat sering mencetuskan ketegangan akibat status tanah yang tidak jelas, justeru penubuhan jawatankuasa khas menjadi mekanisme penting untuk bertindak sebagai penyelaras dan pengantara.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan bukan sahaja menangani isu rumah ibadat, malah melibatkan perkara berkaitan tanah perkuburan dan hal ehwal lima agama di negeri ini.

"Dalam beberapa kes, kita pernah mengambil tindakan tegas, pernah berunding dan ada juga ketegangan berlaku.

"Kebanyakan isu dapat diselesaikan secara harmoni dengan kerajaan negeri bertindak sebagai mediator,” katanya.

Tambahnya, pendekatan itu akan terus diperkemas bagi memastikan keharmonian masyarakat terpelihara tanpa mengabaikan pelaksanaan undang-undang.

Mengulas peranan PBT, Amirudin berkata, semua keputusan akan dibuat secara bersama dengan mengambil kira status tanah, pemilikan, zon guna tanah serta kesan terhadap kawasan sekitar.

"PBT akan terlibat dalam mesyuarat, kita semak tanah ini milik siapa, sama ada tanah kerajaan atau persendirian, zon kawasan dan kesannya kepada penduduk sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Perdana Menteri sebelum ini memberi kuasa kepada pihak PBT di seluruh negara untuk bertindak ke atas rumah ibadat termasuk kuil yang dibina di tapak tidak sah.

Walaupun keputusan itu bakal mengundang kontroversi, Perdana Menteri menegaskan, Malaysia mempunyai undang- undang yang perlu dihormati oleh semua.