Lebih 300 sertai Pertandingan Wau Terbuka Kuala Langat

Iklan
Rukiyah (empat dari kiri) menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan.

BANTING – Lebih 300 peserta daripada pelbagai peringkat usia memeriahkan Pertandingan Wau Terbuka Kuala Langat yang berlangsung di Padang Awam Kampung Kundang di sini pada Sabtu.

Pertandingan julung kali anjuran Aspirasi Jitu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu menyaksikan Zulhafizi Zukifli, 29, muncul juara selepas mengungguli pusingan akhir yang membabitkan 10 peserta terbaik.

Iklan
Iklan

Tempat kedua disandang oleh Muhammad Suhairi Ismail, 30, manakala Mohd Faizal Jarudi, 31, berpuas hati di tempat ketiga.

Susulan kemenangan itu, Zulhafizi membawa pulang wang tunai RM1,500, Muhammad Suhairi menerima RM700, manakala Mohd Faizal memperoleh RM400.

Iklan

Dalam kategori kanak-kanak bawah 15 tahun, Mohd Adam Iskandar, 8, dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang RM300 manakala tempat kedua dimenangi Mohd Hariq Rayyan, 15, (RM200) serta tempat ketiga oleh Mohd Rayyan Mikail, 14, (RM100).

Borhan (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Pertandingan Wau Terbuka Kuala Langat.

Iklan

Bagi kategori wau paling cantik bertemakan Tahun Melawat Malaysia 2026, Mohd Kamsul Jamaluddin yang mempertaruhkan dua wau kapal dinobatkan sebagai juara dan menerima RM300, selain tambahan RM100 bagi tempat ketiga.

Tempat kedua dimenangi Shahroni Mohd Panot yang membawa pulang RM200.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Rukiyah Kolamchery.

Turut hadir, Pengurus Aspirasi Jitu, Hanifah Salam dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kundang, Suhaimi Miskam.

Terdahulu, Exco Perumahan dan Pembangunan Bandar Lestari, Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat merasmikan pertandingan berkenaan pada sebelah pagi.

Menurut Borhan, pertandingan wau kapal merupakan antara acara tradisi di Selangor yang wajar dikekalkan sebagai identiti seni budaya negeri.

Borhan (tiga dari kanan) merasmikan Pertandingan Wau Terbuka Kuala Langat pada Sabtu.

“Pertandingan wau kapal adalah tradisi lama yang semakin dilupakan. Justeru, saya menyokong penuh penganjuran acara seperti ini supaya ia dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

“Saya juga melihat penyertaan ramai golongan muda, sekali gus memberi petanda positif terhadap usaha pemeliharaan warisan negeri.

“Bagi memastikan tradisi ini terus dipelihara, kerajaan negeri merancang untuk menganjurkan pertandingan wau di peringkat negeri dengan tawaran hadiah yang lebih lumayan,” katanya.