SHAH ALAM – Seramai 8,000 murid daripada keluarga B40 di 200 sekolah seluruh negara bakal menerima set sarapan berkhasiat sepanjang lima hari persekolahan berturut-turut menerusi Projek Sarapan untuk Murid Sekolah.
Projek tersebut merupakan inisiatif MILO yang dilancarkan pada 2021 dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
MILO menerusi satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 40,000 set sarapan seimbang yang dipilih daripada menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) KPM bersama MILO akan disediakan bagi menyokong pembelajaran serta penglibatan aktif murid-murid di dalam kelas.
“Program ini turut merangkumi sesi MILO Senamrobik serta ceramah pendidikan pemakanan yang disampaikan oleh pakar pemakanan bertauliah dalam usaha menggabungkan aspek pemakanan, pergerakan fizikal dan pendidikan.
“Pendekatan menyeluruh ini menggalakkan kanak-kanak mengamalkan gaya hidup aktif sejak usia muda dan menyumbang kepada pengalaman pembelajaran yang positif di sekolah.
“Dengan melengkapi program kerajaan yang sedia ada, inisiatif ini memastikan murid-murid yang tidak termasuk di bawah skim RMT turut menerima sokongan pemakanan asas yang diperlukan,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas berkata, inisiatif berkenaan menunjukkan komitmen KPM untuk memastikan tiada kanak-kanak memulakan hari persekolahan dalam keadaan lapar serta membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih sihat.
Jelas beliau, inisiatif itu amat signifikan khususnya bagi murid-murid daripada komuniti kurang berkemampuan.
“Ini juga akan meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh keluarga semasa musim kembali ke sekolah, di samping menyokong pengusaha kantin sekolah yang memainkan peranan penting dalam penyediaan hidangan berkhasiat.
“Kami amat menghargai kerjasama dengan MILO® dalam memperkukuh tanggungjawab bersama demi kesejahteraan murid-murid,” ulasnya.
Pegawai Eksekutif Perniagaan MILO, Nestlé (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen pula berkata, sarapan berkhasiat merupakan asas penting yang mendorong tumbesaran, pembelajaran dan kesejahteraan keseluruhan kanak-kanak.
“Seiring dengan permulaan tahun persekolahan baharu, kami berharap inisiatif ini dapat membantu ribuan murid supaya mereka dapat memulakan hari persekolahan dengan penuh bertenaga.
“Program ini menegaskan komitmen berterusan MILO® untuk memupuk tabiat sihat yang berkekalan sepanjang hayat dalam kalangan komuniti,” ujarnya.