Kaedah pelaksanaan undang-undang AKPS akan diperkemas - Peguam Negara

Iklan
Mohd Dusuki (dua dari kiri) meninjau proses pemeriksaan kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Isnin. Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

PELABUHAN KLANG - Kaedah pelaksanaan undang-undang akan diperkemaskan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang diambil Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) lebih berkesan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, ada beberapa aspek perundangan telah dibincangkan dalam melaksanakan tindakan undang-undang.

Iklan
Iklan

"Kita boleh menggunakan Akta Kastam 1967 dan prosedur Kanun Tatacara Jenayah bagi mengenal pasti serta menjalankan operasi dengan berkesan selain menggunakan banyak sumber perundangan yang ada dalam undang-undang.

Mohd Dusuki Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

Iklan

"Apa yang penting, kita kena kenal pasti isu dan kita amalkan atau 'apply' tatacara bertepatan dengan aspek pengoperasian yang dijalankan terutama Akta Kastam 1967 dan Kanun Tatacara Jenayah," katanya dalam sidang akhbar di Pelabuhan Barat di sini pada Isnin.

Tambah Mohd Dusuki, beliau percaya undang-undang yang ada mencukupi, namun kaedah pelaksanaannya sahaja perlu diteliti.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada terdapat lompang atau keperluan undang-undang baharu dalam AKPS.

Turut hadir Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.

Mohd Dusuki sebelum itu hadir membuat lawatan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan arahan Perdana Menteri bagi memperkukuh kawalan sempadan negara khususnya dalam membanteras pengimportan dan penyeludupan sisa elektronik (e-waste) haram ke Malaysia.

"Banyak pengalaman diperolehi dan pengetahuan yang dikongsikan bersama tentang bagaimana tatacara AKPS menahan kontena serta membuat pemeriksaan selain mengesan bahan terlarang terutama kontena e-waste.

"Saya percaya perlu ada penambahbaikan kerana isu ini rumit. Pencarian, pengesanan dan pembongkaran kontena ini bukan suatu kerja mudah kerana memerlukan ramai anggota serta pegawai untuk memastikan kelancaran.

"Sistem ini juga boleh ditambah baik dari segi alat dan mesin yang diperlukan AKPS," ujarnya.

Dedahnya, antara modus operandi penyeludupan e-waste ialah melindungi barangan itu di sebalik produk lain.