SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor melaksanakan misi bantuan evakuasi perubatan (MEDEVAC) terhadap seorang penumpang wanita yang mengalami strok di dalam sebuah kapal persiaran ketika dalam perjalanan dari Phuket, Thailand ke Singapura, petang semalam.
Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, Pusat Operasi APMM Selangor menerima permohonan bantuan pemindahan mangsa dari kapal persiaran Ovation of the Seas, kira-kira jam 3.53 petang.
Iklan
Iklan
"Pesakit yang dikenali sebagai Tan Yok Ah, 84, telah dibawa menggunakan Bot Penggalang 10 dari posisi pertemuan di kedudukan 3.2 batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong, sekitar jam 5.35 petang dan selamat tiba di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah kira-kira 6 petang hari yang sama.
"Setibanya di jeti, pesakit segera dikejarkan ke Pusat Perubatan Bukit Tinggi (BTMC) dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut bersama dua petugas perubatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam masa sama, Abdul Muhaimin berkata, pihaknya bersiap siaga memberikan bantuan kecemasan dan kemanusiaan di perairan negara tanpa mengira masa dan keadaan. - Bernama